Tindakan tegas jual vape kepada remaja bawah umur
KUALA LUMPUR - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menjual rokok elektronik atau vape kepada remaja bawah umur 18 tahun, kata Timbalan Menteri Kesihatan (KKM), Dr Lee Boon Chye.
KKM katanya, memandang serius isu penularan penggunaan vape dalam kalangan remaja dan gejala itu perlu ditangani segera kerana dikhuatiri akan menimbulkan gejala sosial yang besar pada masa akan datang.
"Paling bimbang apabila kita lihat murid sekolah dan remaja tertarik dengan vape jadi kita akan ambil tindakan kepada mereka yang menjual vape kepada individu bawah umur 18 tahun kerana ia boleh jadi masalah sosial besar, kalau bukan sekarang mungkin pada masa depan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Forum CEO Asia di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian minta kastam, KPDNHEP kawal kemasukan vape
Sebelum ini, KKM dilapor akan memperkenal undang-undang baharu yang dinamakan Akta Tembakau bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik serta sisha dan akta tersebut akan dibentangkan dalam masa terdekat.
Menyentuh peluasan kawasan merokok, Dr Boon Chye berkata, tindakan drastik termasuk menyaman perokok tidak akan diambil buat masa ini kerana objektif utama adalah mengutamakan kesedaran masyarakat supaya tidak merokok di restoran dan premis makanan.
Tambah beliau, walaupun wujud ketidakpatuhan kepada peraturan tersebut khususnya golongan masyarakat di luar bandar, usaha didikan ini akan tetap diteruskan sehingga 1 Januari 2020.
KKM juga menyediakan perkhidmatan melalui 731 klinik kesihatan di seluruh negara dengan hanya perlu membayar RM1 untuk mendapatkan nasihat doktor bagi mengawal ketagihan merokok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!