Chong Wei belum sedia jadi jurulatih
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei belum bersedia untuk menjadi seorang jurulatih meskipun telah menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mengumumkan persaraannya dari arena sukan itu, Jun lalu.
Chong Wei berkata, ia bukan satu tugas mudah kerana banyak aspek perlu diteliti dan dipelajari semula memandangkan peranan sebagai atlet dan jurulatih adalah dua pendekatan berbeza.
"Ya memang BAM ada beri tawaran (jadi jurulatih) tetapi untuk sementara ini saya belum terfikir ke arah itu lagi.
"Tambahan pula, ketika ini saya mahu meluangkan masa bersama keluarga, bercuti ke beberapa negara dan fokus kepada beberapa perkara yang telah diaturkan untuk saya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Raket Astrox 99 LCW di Master Badminton Club (MBC) Klebang Putra di sini hari ini.
Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu berkata, meskipun tidak terlibat secara langsung, beliau sering berhubung dengan bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, Hendrawan dan Sew Bock bagi membantu BAM meningkatkan prestasi badminton negara.
"Saya juga berhubung dengan Presiden BAM (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) bagaimana kita nak menaikkan semangat kesukanan dalam kalangan pemain terutama pemain-pemain muda yang ada dalam BAM ketika ini," katanya.
Dalam tempoh setahun ini, beliau yang dilantik sebagai Chef-de-Mission (CDM) Sukan Olimpik Tokyo 2020 mahu memberi tumpuan penuh terhadap persiapan atlet negara dalam menghadapi temasya empat tahun sekali itu.
Katanya, untuk melaksanakan tanggungjawab itu, banyak perkara baharu perlu dipelajari dan dirinya kini sedang berusaha keras ke arah itu.
“Untuk tempoh ini semua sedang sibuk dan ia agak sukar bagi semua. Saya berharap semua atlet dapat terus memberikan fokus dan tidak mudah putus asa.
“Kita semua mahu ke Sukan Olimpik, namun apa yang penting buat masa ini adalah bagi kita berjaya memperoleh tempat untuk beraksi di sana nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, raket Astrox 99 LCW yang dilancar secara rasmi hari ini merupakan satu lagi kerjasama antara jaguh dunia itu dengan Yonex Sunrise dalam mempromosikan jenama produk baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!