Isu Zakir Naik: Pendirian Exco Kedah tidak senada

Mohd Firdaus Ahmad (kiri) dan Dr Ismail Salleh.
Mohd Firdaus Ahmad (kiri) dan Dr Ismail Salleh.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] ALOR SETAR - Dua Exco Kerajaan Kedah dilihat tidak senada berhubung pendirian sama ada pendakwah Dr Zakir Naik dibenarkan berceramah di negeri itu.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan GLC, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Kedah mengambil langkah sama dengan Perlis tidak membenarkan Zakir mengadakan ceramah di negeri itu susulan kontroversi melibatkan pendakwah berkenaan.

"Ia dilakukan bagi memastikan keharmonian kaum di negara ini terpelihara.

"Namun begitu, Zakir dibenarkan mengunjungi Kedah, cuma tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana program," katanya.

Menurutnya, Zakir pernah terbabit dalam program di Universiti Utara Malaysia (UUM) April lalu, namun dikenakan syarat ketat antaranya hanya membicarakan topik yang diberikan penganjur.

"Ketika itu beliau patuh dengan tajuk diberikan iaitu berkisar kepada motivasi pelajar. Malah penganjur rujuk program berkenaan kepada pejabat Mufti Kedah dan Exco.

"Tapi jika mahu anjurkan program sekarang, kita kekal pada pendirian tidak membenarkan beliau,” katanya.

Bagaimanapun, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan NGO, Mohd Firdaus Ahmad berkata, pihaknya tiada masalah membenarkan Dr Zakir mengadakan ceramah di negeri itu jika tidak menjurus kepada unsur sensitiviti pelbagai kaum.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Firdaus, sekiranya ceramah Zakir hanya berkisar kepada berkongsi ilmu agama dan mendidik masyarakat berkaitan Islam, ceramah itu tidak seharusnya dihalang.

“Jika beliau hadir ke Kedah dan sampaikan ilmu agama untuk mendidik serta memperbetulkan apa yang salah berkaitan Islam, tak perlulah kita halang.

Jika ceramah itu dicemari unsur perkauman dan mengajak ke arah terorisme, sudah tentu kita perlu perhalusi semula,” katanya selepas program Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat negeri di Taman Jubli, Menara Alor Setar di sini semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!