PM hadiri konsert sempena ulang tahun ke-45 Petronas
KUALA LUMPUR - Petronas mengadakan konsert gilang-gemilang yang dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini malam ini sebagai sebahagian daripada acara sambutan yang disusun untuk menyambut ulang tahun ke-45 gergasi petroleum nasional itu.
Ekstravaganza muzik itu berlangsung di The Plaza, terletak di bawah Menara Berkembar Petronas yang ikonik, ibu pejabat syarikat multinasional minyak dan gas bersepadu sepenuhnya di Malaysia, yang turut disenaraikan dalam kalangan syarikat terbesar oleh FORTUNE Global 500.
Konsert itu menampilkan 45 artis popular tempatan yang melakar nama dalam bidang seni sejak empat dekad lepas, seperti Amy Search, Ella, Jaclyn Victor, M. Nasir dan Ruffedge.
Pada majlis itu, Dr Mahathir, yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut melancarkan filem web Petronas berjudul 'UNI' bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan datang.
Filem web itu yang dipertontonkan pada acara berkenaan mengetengahkan elemen 'mini Malaysia' dengan memaparkan kehidupan di kampus universiti yang sarat dengan elemen kepelbagaian kaum, bahasa dan nilai-nilai murni.
Kisah itu juga merupakan satu refleksi sambutan perayaan Petronas 2019 bertemakan 'Anugerah Kita' bertujuan memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Pelancaran filem web itu juga selari dengan sambutan ulang tahun ke-45 Petronas yang bertema '#BersamaMerentasZaman' dan '#OurTimeTogether'.
Petronas memulakan operasi dengan 15 kakitangan pada 1974 dari premis Jabatan Perdana Menteri ketika itu di Jalan Dato' Onn di ibu negara.
Usaha antarabangsa pertama yang berjaya dilaksanakan syarikat itu adalah di Vietnam, pada 1991, menandakan permulaan perjalanan globalisasinya.
Ia mencatatkan satu lagi peristiwa penting pada 1992 dengan majlis pecah tanah Menara Berkembar Petronas yang terkenal di dunia, dan pembukaan rasminya dilakukan pada 1999 oleh Dr Mahathir, yang ketika itu adalah perdana menteri Malaysia keempat.
Direka oleh arkitek terkenal Argentina-Amerika Cesar Pelli yang meninggal dunia baru-baru ini, struktur itu pernah meraih kecemerlangan sebagai bangunan tertinggi di dunia. Ia kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia pada hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!