Retorik kaum ancam keselamatan
APA pun yang kita sendiri atau orang lain kata mengenai negara kita, hakikatnya Malaysia adalah antara negara terbaik di dunia dalam banyak perkara. Ini bukan sekadar hari ini tetapi sejak bermulanya tamadun dan perantauan manusia.
Geografi Semenanjung Tanah Melayu khususnya dan Kepulauan Melayu amnya yang strategik dan buminya yang kaya menarik pedagang, pelayar dan perantau dari timur dan barat.
Ahli geografi dan pelukis peta Yunani (Greek) menamakan Semenanjung Tanah Melayu Chrys Chersónēsos manakala orang Rom menamakannya Chersonesus Aurea dan orang Inggeris Golden Chersonese yang dalam bahasa Melayu ia bermaksud 'Semenanjung Emas'.
Ini adalah kerana perlombongan dan perdagangan logam berharga itu berlaku di wilayah kita sejak beribu tahun lalu. Lokasi yang strategik dan bumi yang kaya menjadikan Semenanjung Tanah Melayu pilihan pedagang, pelayar, perantau dan akhir sekali penjajah.
Tetapi ada satu lagi ciri yang unik yang menyebabkan Semenanjung Tanah Melayu (dan kini Malaysia) menjadi pilihan iaitu ia terletak di pertemuan dua arah tiupan angin monsun.
Antara Mei dan September, angin monsun barat daya bertiup dari arah Lautan Hindi dan membawa bersamanya pedagang, pelayar dan perantau dari benua kecil India dan Semenanjung Arab.Antara April hingga Oktober, angin monsun timur laut pula bertiup dari arah Laut China Selatan.
Angin ini membawa datang pedagang, pelayar dan perantau dari benua China dan membawa pulang pedagang serta pelayar Arab dan India.
Jadi tidak banyak berlaku pergaulan di antara orang dari timur dan barat. Dalam buku sejarah pelayaran Laksamana Zheng He (Cheng Ho) diceritakan bagaimana wanita Melayu Melaka lebih pandai berniaga daripada lelaki.
Boleh jadi hal ini berlaku kerana wanita Melayu lebih pakar mengenai emas, perak, permata, sutera dan rempah-ratus yang menjadi bahan perdagangan utama Melaka.
Sedikit sebanyak ciri kurang pergaulan atau interaksi ini berterusan sehingga sekarang walaupun Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum serta bangsa lain kini semuanya warganegara Malaysia.
Seperti angin monsun yang berubah hala mengikut musim, kita rakyat Malaysia pun mempamerkan ciri yang sama – berubah angin dan sekali-sekala naik angin.
Kita boleh berubah angin dan naik angin tetapi biarlah berasas, terkawal dan berakhir dengan kebaikan.
Tetapi kalau kita naik angin dan kemudian hilang arah tujuan sehingga berpecah belah kerana lima muka surat tulisan khat dalam kurikulum atau akibat keceluparan mulut seorang penceramah dari India, maka amatlah rugi dan berbahaya bagi negara kita.
Dalam kaitan itu, saya mohon marilah kita berlapang dada dan menyokong gesaan ketua parti-parti anggota Pakatan Harapan (PH) agar kita kembali bersatu padu.
Dalam satu kenyataan bersama pada 15 Ogos, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu merujuk kepada hakikat bahawa kita akan merayakan ulang tahun ke-62 kemerdekaan dan ulang tahun ke-56 penubuhan Malaysia beberapa hari lagi.
Walaupun mereka mengakui bahawa kehadiran media sosial dan media arus perdana yang lebih bebas telah membolehkan kita bersuara dengan lebih mudah namun kita harus sedar bahawa retorik yang berlebihan sekarang boleh merosakkan perpaduan.
Saya setuju dengan mereka bahawa kita wajib menolak retorik dan omongan melampau yang boleh merosakkan negara.
Seperti yang telah saya katakan berulang kali, kita ada banyak masalah dan isu rakyat jelata yang perlu ditangani segera.
Dalam konteks itu, amaran Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri, yang juga dibuat pada 15 Ogos adalah amat tetap dan perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Kedua-dua organisasi awam itu tidak perlu menunggu aduan untuk bertindak.
Mereka mempunyai kuasa serta kemampuan pemantauan dan perisikan yang luas.
Tolonglah gunakan kuasa yang ada untuk menyekat penyalahgunaan media khususnya media sosial dan mencegah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengancam keselamatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!