Zakir Naik hantar surat saman esok: Peguam
SHAH ALAM - Penceramah dari India, Dr Zakir Naik akan menghantar surat saman dari mahkamah kepada lima individu yang didakwa memfitnah beliau, esok.
Peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, tindakan itu diambil susulan semua individu itu dilihat enggan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
“Ya, memang kita akan heret mereka ke mahkamah. Kita dalam proses menyiapkan saman mahkamah.
ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa kamu di mahkamah, Kula Segaran beritahu Zakir Naik
Zakir Naik hantar surat tuntut Kula Segaran minta maaf
'Kita tak akan lari ke India sembunyi belakang PM Modi'
“Insya-ALLAH (saman) akan difailkan Isnin (esok) ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil Dr Zakir atau nama sebenarnya Zakir Abdul Karim Naik selepas semua individu yang didakwa memfitnah beliau enggan memohon maaf.
Terdahulu, Zakir turut menamakan lima individu yang didakwa memfitnah beliau menerusi satu laporan polis yang dibuatnya, kelmarin.
Mereka ialah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas Duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis J Ignatius.
Zakir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 10.50 pagi kelmarin.
Berdasarkan laporan tersebut, pendakwah itu mendakwa kelima-lima individu yang dinamakan telah memfitnah berdasarkan kenyataan disiarkan di media sosial dan laman sesawang mereka berhubung syarahannya di Kota Bharu Kelantan pada 8 Ogos lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!