Pejalan kaki maut dilanggar MPV
BATU PAHAT - Seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sewaktu sedang melintas di Jalan Rejo Sari, Rengit di sini malam tadi.
Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai mahu melintas dari kiri ke tengah jalan.
"Secara tiba-tiba sebuah MPV dalam perjalanan dari arah Senggarang ke Rengit tidak menyedari kehadiran mangsa, tidak sempat membrek kenderaannya sebelum melanggar mangsa.
"Mangsa yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri itu maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu MPV tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Tong Siew Fen di talian 010-2090396.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!