Syukur dapat kelengkapan sekolah serba baharu
MARANG - "Kami bersyukur anak yang masuk darjah 1 tahun depan dipilih terima bantuan, dapatlah dia pakai peralatan sekolah serba baharu untuk sesi persekolahan nanti,” kata Nurul Najwa Rezemi, 25.
Anaknya, Nurul Alyaa Abdullah, 7, menerima bantuan beg sekolah dan peralatan alat tulis daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jambu Bongkok Pantai
sempena program Kembali Ke Sekolah.
Program sumbangan mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan Ibu-Ibu dan Ibu Tunggal Terengganu itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Perpaduan Negeri Terengganu, Kamaruddin Ali.
Menurut Nurul Najwa, dia hanya seorang suri rumah manakala suaminya pula seorang buruh dan mereka tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak mereka itu.
“Saya sangat bersyukur kerana KRT kampung ini tidak pernah mengabaikan kami sekeluarga. Sebelum ini pun kami turut menerima bantuan pakaian seragam, kasut dan stoking jadi lengkaplah semuanya.
“Gaji suami tidak menentu dan kami hanya cukup untuk menyediakan keperluan makan minum keluarga sahaja. Alhamdulilah, bantuan ini dapat meringankan beban kami,” kata ibu dua anak itu, hari ini.
Sebelum itu, majlis berkenaan diadakan di Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok di sini. Hadir sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan Ibu-Ibu dan Ibu Tunggal Terengganu, Sallehah Embong Ibrahim.
Nurul Najwa antara 24 penerima kurang berkemampuan yang menetap di Jambu Bongkok Pantai yang menerima bantuan beg dan peralatan alat tulis sumbangan KRT Jambu Bongkok Pantai.
Mengulas lanjut, Nurul Najwa berkata, anak perempuan Sulong itu juga kelihatan teruja dan tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan baharu di SK Jambu Bongkok pada tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!