Pendakwah saudara baharu perlu sentiasa lengkapkan ilmu: Raja Perlis

Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail - Foto Bernama
Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail - Foto Bernama
A
A
A

KUALA PERLIS - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menasihatkan para pendakwah dalam kalangan saudara baharu agar sentiasa melengkapkan diri mereka untuk menghadapi dunia dakwah yang semakin mencabar.

Titah baginda, peranan pendakwah sekarang bukan sekadar menyampaikan dakwah untuk didengari, tetapi mereka juga akan berhadapan dengan pelbagai soalan yang perlu diberi jawapan dengan jelas dan mudah difahami.

“Justeru setiap pendakwah khususnya daripada kalangan saudara baharu perlu sentiasa melengkapkan diri mereka menjadi pendakwah berkualiti bukan sahaja menyampaikan dakwah tetapi juga merungkaikan pelbagai kekeliruan yang ditimbulkan,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah demikian pada majlis penutupan program Malaysia Reverts Camp 2019 selama tiga hari di Masjid Al-Hussain di sini hari ini anjuran One Centre Malaysia Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Perlis dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Turut berangkat Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah seseorang pendakwah perlu menyiapkan disiplin diri dan mental serta ilmu keagamaan kerana mereka menjadi tempat rujukan kepada mereka yang memerlukan khidmat nasihat, pendidikan, kaunseling dan seumpamanya.

Baginda juga meminta para saudara baharu supaya rajin mencari rezeki untuk mengukuhkan ekonomi mereka tanpa mengharapkan bantuan dan ehsan orang semata-mata.

“Kita tidak mahu para saudara baharu dianggap pemalas sedangkan banyak ruang tersedia untuk mereka menambah pendapatan jika sanggup berusaha,” titahnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberitahu pihak MAIPs telah memberi peruntukan kira-kira RM1 juta bagi menjayakan program tersebut dengan menghimpunkan para saudara baharu dari dalam dan luar negara.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!