Siti Nurhaliza terima kunjungan Tun Mahathir dan isteri
BERTUAHNYA Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa apabila menerima kunjungan pemimpin nombor satu negara, Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di kediaman mereka baru-baru ini.
Kunjungan Tun Mahathir dan isteri adalah bersempena majlis istimewa yang dianjurkan Siti dan keluarga untuk meraikan majlis sambutan hari lahir dan ulang tahun perkahwinan pemimpin yang disegani ramai ini.
Menerusi laman Instagram miliknya, Siti telah berkongsi beberapa video dan foto istimewa yang sempat dirakamkan ketika majlis tersebut berlangsung.
“Meraikan ulangtahun kelahiran dan ulangtahun perkahwinan Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
“Terima kasih di atas kesudian Tun berdua ke teratak kami dan masa yang diluangkan amat kami hargai.
“Menzahirkan rasa hormat dan menghargai itu tidak terbatas syarat apa pun, tidak kira bagaimana caranya tetapi apabila dimaknakan, ia akan mengalir dengan sendirinya. Sederhana dan bermakna. @chedetofficial,” luah Siti.
Selain persembahan Siti dan alunan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah, gelagat puteri tunggal Siti, Siti Aafiyah, 1, turut menarik perhatian ramai apabila kelihatan cukup mesra dengan Tun Mahathir dan isteri.
Turut bersama pada majlis itu ialah anak-anak tiri dan menantu Siti termasuk pelakon Tya Ariffin dan Izara Aishah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!