Polis gempur PATI di KL
KUALA LUMPUR - Seramai 106 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di sekitar ibu negara Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, Operasi Bersepadu Cegah Jenayah PATI itu dijalankan membabitkan kekuatan 184 pegawai dan anggota Polis Kuala Lumpur.
Menurutnya, antara lokasi operasi terlibat adalah di sekitar Pasar Borong Selayang, Chow Kit, Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Segambut Pusat, Batu 3 ¹/2 Jalan Ipoh, Pasar Seni, Jalan Padang Belia, Jalan Vivekananda dan Wisma Indah.
"Sepanjang operasi ini, pemeriksaan telah dijalankan terhadap 208 orang warga asing.
"Seramai 106 PATI termasuk tiga wanita telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen hasil pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan pecahan tangkapan, PATI ditahan terdiri daripada warga Myanmar (43), Bangladesh (32), India (12), Indonesia (9), Nepal (5), Sri Lanka (2), Nigeria (2) dan seorang Pakistan.
Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah selain akta-akta yang berkaitan.
"Kesemua PATI dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang, Lokap Dang Wangi dan Lokap Cheras untuk tindakan lanjut," katanya.
Tegasnya, Polis Kuala Lumpur memandang serius isu kebanjiran PATI yang menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku di negara ini.
"Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21469999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!