Kumpulan anti Lynas koyak manifesto PH

Peserta membawa plakad dan poster menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan meneruskan Lynas.
Peserta membawa plakad dan poster menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan meneruskan Lynas.
A
A
A

KUANTAN - Kumpulan anti-Lynas, Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), bertindak mengoyak Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan (PH), selepas gagal menunaikan janji mentadbir negara berlandaskan prinsip kemampanan.

Pengerusinya, Tan Boon Teet, berkata, tindakan kerajaan membenarkan Lynas beroperasi sudah melanggar janji nombor 39 dalam manifestonya yang mana pakatan itu berikrar mentadbir negara berlandaskan prinsip kemampanan.

"Jadi pada perhimpunan hari ini, peserta perhimpunan bertindak mengoyak kertas manifesto sebagai simbolik kerana tindakan kerajaan membuat membuat pusingan U (U-turn) dalam isu Lynas," katanya ketika ditemui media pada Himpunan Anti Lynas Protes 818 Tolak Sisa Radioaktif Lynas di Taman Gelora di sini hari ini.

Tan Boon Teet
Tan Boon Teet

Sebelum itu, kira-kira 500 peserta berhimpunan di Taman Gelora di sini pagi tadi membantah tindakan kerajaan membenarkan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd diperbaharui selama enam bulan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sim Chon Siang dan ADUN Semambu, Lee Chean Chung.

Menurut Boon Tet lagi yang masih bersuara adalah Ahli Parlimen Kuantan iaitu Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack.

"Wakil rakyat yang lain senyap, walhal dulu kamilah yang buat mereka menang dan kini menjadi pemimpin. Kita (SMSL) berharap mereka kembali dan sedar dengan kesilapan serta menunaikan janji untuk menutup kilang Lynas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, mereka juga berharap 39 pemimpin Pakatan Harapan yang menandatangani aku janji membatalkan Lynas supaya kembali membantah tindakan kerajaan ini.

Himpunan Anti Lynas yang diadakan di Taman Gelora, pagi tadi dihadiri kira-kira 500 peserta.
Himpunan Anti Lynas yang diadakan di Taman Gelora, pagi tadi dihadiri kira-kira 500 peserta.

Tegas Boon Tet lagi, pihaknya bercadang untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan yang membenarkan Lynas beroperasi enam bulan lagi.

Pembaharuan lesen Lynas, yang beroperasi di Gebeng Kuantan itu, kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama antaranya ialah pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Sementara itu, Boon Teet berkata, tindakan kerajaan ini juga berkemungkinan akan memberi kesan kepada keputusan PRU15 nanti.

"Ini kerana banyak perkara yang dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini diketepikan oleh kerajaan PH dan itu memberi ketidakpuasan rakyat terutamanya berkaitan isu Lynas," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir memberi penjelasan mengapa kerajaan membenarkan Lynas terus beroperasi.

"Ini keputusan yang salah dibuat oleh Kabinet. Kenapa dia mahu Lynas kekal di sini? Perdana Menteri kena jelaskan perkara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!