Taufan Lekima: 152 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar terjejas

Tze Tzin (kanan) ketika meninjau keadaan sangkar ikan yang rosak selepas kejadian taufan lekima yang melanda negeri ini pada 9 Ogos lalu.
Tze Tzin (kanan) ketika meninjau keadaan sangkar ikan yang rosak selepas kejadian taufan lekima yang melanda negeri ini pada 9 Ogos lalu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Seramai 152 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di negeri ini terjejas akibat taufan Lekima pada 9 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, lebih 800 tan metrik ikan mati dengan nilai kerugian kira-kira RM29 juta.

Menurutnya, antara kawasan paling terjejas ialah di Sungai Udang apabila hampir keseluruhan sangkar ikan yang diusahakan 141 penternak rosak.

"Tinjauan mendapati kerosakan serius infrastruktur dan peralatan. Kerugian dianggarkan berjumlah RM25 juta selepas lebih 700 tan metrik ikan terlepas dari sangkar.

"Turut terkesan pengusaha ikan dalam sangkar di Teluk Bahang membabitkan enam pengusaha. Ikan mati kerana perubahan arus laut yang membawa bersama nutrien dan partikel terampai serta paras oksigen rendah," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di kawasan ternakan sangkar ikan di Sungai Udang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Nor Aisyah Abu Bakar dan wakil Persatuan Penternak Ikan Dalam Sangkar Sungai Udang, Daerah Seberang Perai Selatan.

Tze Tzin berkata, anggaran kematian ikan di Teluk Bahang sebanyak 96 tan metrik dengan nilai RM3.55 juta.

Sementara itu katanya, seramai tiga pengusaha terjejas di Pantai Jerejak akibat kerosakan infrastruktur sangkar selain mengakibatkan satu tan metrik ikan terlepas dengan anggaran kerugian RM68,000.

Artikel Berkaitan:

Katanya, satu laporan terperinci akan dibuat berhubung kerugian dialami petani, penternak serta nelayan akibat bencana tu bagi memastikan bantuan sesuai diberikan.

Beliau turut mengesyorkan pengusaha ternakan ikan sangkar tidak lagi menggunakan kaedah lama dalam usaha membangunkan semula sangkar ikan mereka.

Tambahnya, penggunaan sangkar ikan berteknologi baharu atau High-Âdensity Polyethylene (HDPE) boleh menampung, menahan ombak besar dan ribut selain mempunyai teknologi pemantauan yang canggih.

Katanya, kementeriannya akan memberikan dua sangkar terbabit kepada Persatuan Penternak Ikan Dalam Sangkar Sungai Udang sebagai projek perintis sebagai pengusaha mengubah kaedah penternakan ikan dalam sangkar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!