RMK12: Keperluan rakyat Kelantan juga mesti dipenuhi

Barisan pimpinan PH yang menghadiri Majlis Retreat PH Kelantan di Pasir Puteh petang tadi.
Barisan pimpinan PH yang menghadiri Majlis Retreat PH Kelantan di Pasir Puteh petang tadi.
A
A
A

PASIR PUTEH - Pakatan Harapan (PH) Kelantan tidak mahu wujud diskriminasi kepada negeri dikuasai pembangkang dalam pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) nanti.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, keperluan rakyat Kelantan juga mesti dipenuhi kerajaan PH.

Katanya, kerajaan perlu memastikan rangsangan ekonomi berlaku di Kelantan dengan mewujudkan lebih banyak peluang kerja dan peluang ekonomi.

"Kita menyokong penuh pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) walaupun hanya untuk pengangkutan penumpang.

"Kita dapat membayangkan berlaku pertambahan pelancong ke negeri ini yang secara tidak langsung merancakkan ekonomi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Retreat PH Kelantan di Pusat Latihan Kenaf dan Tembakau Negara, di sini petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan, Datuk Seri Supardi Md Nor.

Husam berkata, PH Kelantan juga mahu kerajaan menaik taraf segera Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menjadi lapangan terbang serantau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kerajaan dilihat perlu memberi lesen bagi 'menghalalkan' penyeludupan di sempadan.

"Kemasukan barangan dari negara jiran terus berlaku terutama beras dan ayam, ada baiknya kerajaan memberi lesen agar rakyat memperoleh pendapatan.

"Melaluinya kerajaan dapat juga mengutip cukai dan rakyat dapat cari makan dengan selesa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!