Tangan nelayan melecur dipercayai terkena sisa kimia
PASIR GUDANG - Dua nelayan dari Kampung Perigi Acheh melecur pada lengan dipercayai terkena sisa kimia ketika turun menjala pada pertengahan Julai lalu.
Salah seorang mangsa, Maa Yon Ismail, 63, berkata, ketika kejadian, air Sungai Kopok memang berwarna hitam namun dia tidak mengesyaki apa-apa yang akan membahayakan diri.
"Masa hari kejadian pagi itu saya turun ke laut, air sungai memang tengah hitam tapi saya tak sangka air itu beracun.
"Jam 10 pagi dah mula terasa gatal dan saya menggaru, ingatkan biasa saja. Tapi tangan saya jadi merah dan bengkak.
"Bila balik rumah anak ajak saya ke klinik, tapi selepas seminggu lebih makan ubat tak baik juga, akhirnya anak bawa saya ke Hospital Sultan Ismail (HSI)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Perigi Acheh, hari ini.
Katanya, selepas mendapatkan rawatan di HSI, tangannya kembali pulih selepas dua minggu.
"Awalnya anak minta buat ujian darah di HSI tapi ditolak sebab katanya saya tak demam, Alhamdulillah lebih kurang dua minggu lebih makan ubat hospital, tangan saya pulih.
"Bengkak surut tapi kulit saya terkopek. Pertama kali kena macam ini selepas jadi nelayan lebih 40 tahun," katanya.
Menurutnya, sejak Sungai Kopok tercemar, nelayan di kampung itu terpaksa mencari rezeki di kawasan lain yang lebih jauh.
"Sudah lama pendapatan kami terjejas, sekarang kami terpaksa pergi jauh di luar kawasan kami sebab di sungai ini dah tiada lagi sumber rezeki. Udang seekor pun dah tak ada.
"Sebagai nelayan sudah tentu kita mengharapkan bantuan kerana sekarang kami dah kehilangan sumber pencarian utama," katanya.
Bapa kepada empat anak itu berharap, pihak berkaitan mengambil perhatian serius terhadap isu yang sedang melanda golongan nelayan kampung tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Longgokan sisa mencurigakan ditemui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!