Suami isteri disyaki bunuh diri gara-gara tiada anak
ODISHA - Sepasang suami isteri dari Odisha, India dipercayai membunuh diri gara-gara tidak mempunyai zuriat.
Mayat R Jayabalan dan isterinya, Malini Kesavan, kedua-duanya berasal dari Tamil Nadu ditemukan dalam rumah pada pagi Sabtu lalu.
Jayabalan, 38, merupakan seorang pensyarah di Jabatan Sains, Institut Teknologi Nasional di Rourkela.
Difahamkan, rumah pasangan terbabit berkunci selama dua hari dan jiran yang mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku bertindak menghubungi pihak berkuasa.
Polis kemudian memecah masuk rumah tersebut dan menemukan mayat pasangan suami isteri itu tidak berpakaian.
Empat helai nota bunuh diri turut ditemukan di rumah mangsa.
Dalam nota tersebut, mangsa dilaporkan menyatakan kekecewaan kerana tidak mampu mempunyai anak dan turut meminta maaf kepada ibu bapa mereka.
Polis mengesyaki kedua-dua mangsa membunuh diri dengan meminum racun.
Siasatan lanjut bagaimanapun sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar insiden. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!