Kisah Nora Anne 'buka' cerita Gunung Berembun
Di hari ke-10 pencarian dengan izin ALLAH SWT, jasad kaku Nora Anne Quoirin, 15, berjaya ditemui oleh sepasukan pendaki sukarelawan pada jam 1.57 petang pada 13 Ogos lalu.
Jasad berkenaan ditemukan di kawasan lurah berdekatan anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort yang menjadi lokasi percutian anak gadis istimewa itu bersama keluarganya iaitu The Dusun, Seremban.
Pencarian anggota mencari dan menyelamat (SAR) seramai kira-kira 348 terdiri daripada 133 anggota polis, bomba (46 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM - 47 anggota), Pasukan Gerakan Am (45 anggota) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (20 anggota), orang awam (39 perserta), Jabatan Perhutanan (10 anggota) dan lapan anggota forensik itu akhirnya berhasil selepas pelbagai cara digunakan bagi menjejaki gadis lembam berkenaan.
Jika diimbas kembali, kisah kehilangan Nora Anne kira-kira jam 8 pagi 4 Ogos lalu itu menjadi tular dalam sekelip mata dan mendapat perhatian pelbagai pihak.
Bayangkan bukan hanya pihak berkuasa serta orang tempatan sahaja yang berusaha mencarinya, bahkan polis dari tiga negara iaitu England, Ireland dan Perancis telah datang ke negara ini bagi membantu dalam aspek siasatan kehilangan gadis istimewa berkenaan.
Ya, kehilangan itu bukan kehilangan biasa.
Kehilangan itu sukar untuk dijejaki lebih-lebih lagi bila melibatkan anak istimewa dan tentunya lebih mencabar lagi kehilangannya di tempat yang terang-terangan bukanlah tempat untuk keluar bersendirian iaitu sebuah hutan.
Hari pertama kehilangan, khidmat bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah dikerah ke lokasi pencarian.
Tidak cukup dengan itu, hari keduanya, satu platun pasukan dari Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut menyertai SAR menjadikan jumlah kekuatan anggota SAR di hari kedua seramai 159 anggota.
Hari kelima pencarian pula (8 Ogos), polis mengambil rakaman suara ibu Nora sebagai alternatif untuk 'mengejutkan' Nora dan rakaman berkenaan dipasang menggunakan pembesar suara semasa operasi SAR.
Hari kelapan pencarian (11 Ogos) pula, polis membuka talian hotline khas bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora.
Hari kesembilan pencarian (12 Ogos), pengamal perubatan Islam dan alternatif tampil menawarkan bantuan mencari Nora.
Pada hari yang sama, ibu Nora turut menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang menyalurkan maklumat sehingga berjaya menemui anaknya itu.
Hari kesepuluh pencarian sekumpulan pendaki sukarelawan melakukan pencarian melalui laluan sungai sebelum berpecah kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan mengikut arah kiri dan satu lagi kanan.
JASAD SEPERTI TIDUR
Kumpulan yang mengikuti laluan kiri akhirnya ternampak jasad Nora yang ditemui dalam keadaan mengiring seperti tidur.
Ini kisah pencarian, belum lagi masuk kisah netizen di alam maya. Semasa operasi SAR macam-macam cerita keluar.
Ada yang kata Nora dilarikan bunian, katanya dah masuk alam yang satu lagi. Ada juga yang kata Nora diculik lebih-lebih lagi setelah kisah tawaran ganjaran RM50,000 itu.
Dah jadi jenaka pula bila jasad ditemui, komen tak sensitif muncul di laman sosial bila netizen kongsikan: "Ah sudah terlepas RM50,000."
Ada macam-macam cerita dibuat netizen bila dah berjaya temui jasad. Katanya ritual malam sebelum ditemui itu berjaya menemukan jasad tak bernyawa Nora yang dipulangkan bunian.
Bahkan ada antaranya dah jatuh jadi fitnah pula.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada 15 Ogos lalu menyatakan, polis akan mengambil tindakan terhadap seorang pengguna Twitter yang menggunakan akaun bernama Zikri Armstrong kerana memuat naik ciapan mendakwa Nora Anne dirogol orang asli.
Mohamad pada hari yang sama turut mengumumkan keputusan bedah siasat berhubung punca kematian gadis Ireland berkenaan disebabkan oleh kebocoran usus akibat kebuluran dan tekanan berpanjangan.
Sewajarnya keputusan berkenaan sudah mampu menutup mulut banyak pihak, namun kehilangan dan kematian ini masih lagi menjadi teka-teki buat pencipta spekulasi.
Dah jumpa jasad kini yang ditimbulkan pula ialah "siapa yang bawa Nora keluar?"
Ini payah untuk penulis nak jawab tapi kalau sebut Gunung Berembun, wartawan pasti akan terkenang kembali detik-detik 'seram' wartawan semasa menyertai ekspedisi menawan gunung yang berketinggian kira-kira 1014 meter berkenaan.
LOKASI
Benda pertama yang para pengamal media tanya kepada anggota yang menyertai SAR, adakah tempat penemuan itu di kawasan laluan pendakian?
Katanya tidak. Itu bukan laluan pendakian. Lokasinya agak jauh dari laluan pendakian Gunung Berembun.
Selepas mengetahui jawapan itu, penulis terus menarik nafas lega tetapi ingatan wartawan masih lagi menerawang pada foto yang dikongsi rakan wartawan.
Foto yang diambil waktu lewat petang itu semasa melintasi Lata Berembun awal tahun lalu jelas menunjukkan terdapat 'orang lain' yang menumpang di dalam gambar.
Sama-sama meniti titian dari pokok tumbang. Gelap sahaja wajah dan imejnya. Dalam hati wartawan, mujur gelap sebab gelap pun wartawan dah seram, inikan pula kalau jelas imejnya.
Belum lagi cerita dipermainkan oleh 'orang lain' itu semasa menuruni Gunung Berembun. Ada yang rasanya sudah melepasi rakannya tapi pelik tak lama lepas itu, dia terjumpa rakannya di hadapan. Ini baru sedikit ceritanya mengenai Gunung Berembun di Negeri Sembilan.
Pun begitu ramai juga yang keliru dengan lokasi Gunung Berembun memandangkan terdapat dua lagi gunung dengan nama yang sama iaitu di Cameron Highlands (Pahang) dan juga di Dungun, Terengganu.
TRAGEDI
Namun Gunung Berembun di Negeri Sembilan ini menawarkan sejarah yang cukup menarik untuk diterokai sendiri.
Di antara laluan Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun, terdapat bangkai pesawat pengebom RAF B24 Liberator yang terhempas semasa Perang Dunia Kedua.
Pesawat berkenaan berlepas dari Cocos Island, Australia dalam satu misi ‘resupply’ kepada pasukan Force 136 yang berhadapan kemaraan penjajah Jepun di Tanah Melayu dikatakan terhempas 23 Ogos 1945.
Tragedi berkenaan mengorbankan kesemua enam kru pesawat. Serpihan bangkai pesawat ada yang masih dalam keadaan sempurna ada yang tidak di kawasan berkenaan.
Pendaki yang berminat untuk melihat sendiri bangkai pesawat ini boleh menuruni kawasan curam dan anak sungai.
Itu tragedi yang mungkin pertama kali mengorbankan nyawa di Gunung Berembun. Terbaru Nora. Sebelum Nora, seorang kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia meninggal dunia semasa menyertai aktiviti mendaki Gunung Berembun 22 September tahun lalu.
Kisah lainnya terdapat catatan beberapa kes kematian akibat kepala air ketika bermandi-manda di sungai di kawasan Gunung Berembun.
Manakala, kejadian sesat membabitkan pendaki banyak juga berlaku namun tidak begitu lama dalam tempoh kurang 24 jam, mangsa berjaya ditemui.
Antaranya kes pada 1 Mei lalu membabitkan seorang yang tersesat lebih 12 jam ketika melakukan aktiviti mendaki bersama bapanya. Mangsa berjaya ditemui pukul 8 pagi keesokan hari di kaki gunung itu oleh pasukan penyelamat.
Pada 16 Oktober 2016 pula, lima pelajar sebuah kolej perubatan sesat lebih tujuh jam di Gunung Berembun sebelum diselamatkan pasukan bomba awal pagi esoknya.
Ini semua sebahagian dari kisah Gunung Berembun. Kalau Nora teruja dengan sungai dan air terjun di Gunung Berembun, wartawan percaya kerana wartawan pun suka melihat panorama indah Lata Berembun dan beberapa anak sungai yang perlu ditempuh.
Berhampiran Gua Kambing pun ada sungai yang jernih airnya dan menjadi tempat pendaki mengambil air sama ada untuk diminum atau untuk tujuan membersihkan diri termasuk mengambil air wuduk.
Kalau nak cerita bab mistiknya, Gunung Datuk (Rembau) di belakang kampung halaman wartawan pun tak kurang juga ceritanya.
Bak kata kawan wartawan, dunia alam ghaib ini memang ada dan kita harus percaya tapi janganlah kepercayaan kita itu sampai ke satu tahap menyesatkan kita.
Apa pun, jika masuk ke hutan, semua perlu jaga adab.
Walaupun sudah berkali-kali masuk ke lokasi yang sama, jangan sesekali menunjukkan lagak kerana ada 'orang lain' yang tak akan suka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!