Penumpang pesawat mabuk ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penumpang pesawat ditahan selepas dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan mengeluarkan kata kesat terhadap pramugari pesawat terbabit.

Dalam kejadian kira-kira 9.41 malam tadi, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun didapati minum minuman berwarna kekuningan dalam botol plastik mineral water dipercayai minuman keras semasa dalam penerbangan domestik dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pramugari berusia 26 tahun kemudian menegur penumpang terbabit beberapa kali namun tidak diendahkan.

"Kira-kira jam 10.50 malam, semasa pesawat hendak mendarat, lelaki terbabit telah membuat kacau dan memanggil pramugari terbabit sebelum membalingnya dengan botol minuman tersebut.

"Malah lelaki terbabit turut mengeluarkan perkataan kesat kepada pramugari terbabit," katanya.

Beliau berkata, setelah kapal terbang berhenti dan semua penumpang turun, ketua pramugari meminta bantuan daripada pengawal keselamatan untuk membawa penumpang tersebut ke balai polis.

Katanya, satu laporan polis juga dibuat susulan insiden terbabit.

"Penumpang warga tempatan itu telah ditahan dan semakan juga mendapati dia memiliki satu rekod lampau membabitkan kes curi.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Peraturan Penerbangan Awam (Pindaan) 2016 dan Akta Penerbangan Awam 1969," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!