Selangor berada di landasan betul: MB
SHAH ALAM - Pentadbiran Selangor berada di landasan betul namun masih banyak aspek perlu diperbaiki ke arah menjadikan Selangor berteknologi tinggi dan persediaan Industri 4.0, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Beliau berkata, polisi pro rakyat sangat berkesan di Selangor sehingga ia menjadi contoh di negeri-negeri lain.
Menurutnya, namun Selangor perlu berubah dan tidak boleh berpuas hati dengan status quo sekarang.
"Sebagai pemimpin, menjadi tanggungjawab saya untuk membuat tindakan yang betul bagi kebajikan dan kepentingan jumlah terbesar kalangan rakyat.
"Walaupun langkah yang dilakukan dijangka tidak popular tetapi bagi memastikan kelangsungan pentadbiran ini, kita tekad untuk meneruskan polisi-polisi yang betul dalam menjamin masa depan anak cucu kita nanti," katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Abdul Aziz hari ini.
Amirudin berkata, Selangor ke arah mengubah corak yang menumpukan pentadbiran berkebajikan kepada pentadbiran yang menitikberatkan pertumbuhan dan kelestarian.
"Benar, Selangor merintis pentadbiran peduli rakyat, rizab meningkat ke RM2.3 bilion, jumlah sebesar RM32.5 juta dimanfaatkan setakat 2018 untuk skim kesihatan awam. Banyak lagi petikan angka boleh saya sebutkan.
"Yang saya ingin tekankan adalah kita hanya dianggap berjaya jika kita berjaya membuktikan betapa pengurusan kewangan yang bertanggungjawab membolehkan kita betul-betul membantu orang yang susah dan yang mengupayakan mereka yang lain dengan pemberian peluang yang lebih baik," katanya.
Katanya, untuk itu kerajaan negeri bercadang untuk melaksanakan dasar pembangunan negeri yang lebih bertanggungjawab dan lestari bagi menghadapi cabaran mendatang.
"Antara strategi utama dalam dasar ini seperti yang terkandung dalam dokumen Belanjawan Selangor 2019 ialah klusterisasi ekonomi.
"Kita perlukan perubahan untuk kekal relevan. Kalau kita tak bersedia untuk berinovasi, kita akan gagal mendapat pembangunan yang lebih maju daripada apa yang kita nikmati sekarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!