Anak adu sakit perut tanda serangan cacing
JANGAN panik apabila anak-anak mengadu sakit perut disusuli dengan muntah dan cirit-birit. Ia mungkin disebabkan oleh serangan cacing rambu atau jangkitan trichurisasis.
‘Trichurisasis’ ialah jangkitan yang disebabkan oleh cacing rambu atau cacing cambuk. Ia sering berlakudalam kalangan kanak-kanak.
Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak makan makanan atau minum air yang tercemar dengan telur cacing.
Selain itu ia juga disebabkan apabila kanak-kanak memasukkan jari tangan ke dalam mulut selepas bermain dengan tanah yang tercemar. Telur-telur cacing tersebut akan menetas dalam usus besar kanak-kanak.
Apa itu cancing rambu?
Nama cacing rambu atau cacing cambuk boleh dikenali berdasarkan kepada ciri-ciri bentuk cacing dewasa. Cacing dewasa berukuran di antara tiga hingga lima sentimeter panjang dan boleh hidup selama satu hingga tiga tahun dengan membenamkan hujung badannya pada dinding usus besar manusia.
Cacing rambu atau cacing cambuk betina boleh menghasilkan lebih dari 10,000 telur dalam masa sehari dan dikeluarkan dalam najis manusia.
Tanda dan gejala yang ditunjukkan:
- Jangkitan ringan (kurang dari 100 cacing)
Kemungkinan tiada sebarang tanda dan gejala. Namun ada juga kanak-kanak mengalami kembung perut, cirit birit, sembelit atau perut rasa tidak selesa (sebu).
- Jangkitan teruk (melebihi 100 -1000 cacing)
Kemungkinan diikuti dengan tanda dan gejala berikut:-
- Muntah.
- Cirit-birit (kemungkinan mengandungi darah)
- Pucat (kurang darah).
- Hilang selera makan.
- Susut berat badan.
- Bahagian akhir usus besar terkeluar ( Rectal Prolapse).
- Pembesaran terencat.
Jangkitan cacing rambu boleh menjadi kes teruk, dehidrasi dan kekurangan darah berlaku akibat daripada cirit-birit berdarah. Selain itu turut boleh berlaku bahagian akhir usus besar terkeluar.
Cara untuk mengetahui anak anda terkena jangkitan cacing rambu apabila anak membuang air besar dan najisnya mengandungi telur cacing rambu atau cacing cambuk. Ianya boleh dipastikan melalui pemeriksaan mikroskopik ke atas najis anak anda.
Rawatan yang akan diberikan dengan mengambil ubat makan albendazole untuk satu hari sementara mebendazole untuk 3 hari).
Rawatan ini perlu diulangi mengikut keperluan (jika masih terdapat tanda-tanda jangkitan selepas dua minggu rawatan diberi).
Tip pencegahan
- Basuh tangan dengan sempurna sebelum menyediakan makanan.
- Elakkan anak bermain dengan tanah yang tercemar.
- Basuh makanan yang mungkin tercemar dengan telur cacing rambu atau cacing cambuk dengan bersih.
Sumber: MyHealth
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!