Berpantang maut sebelum ajal
KLUANG – Seorang pemandu lori treler nyaris maut selepas lori yang dipandunya terbabas jatuh ke dalam gaung berkedalaman kira-kira 20 kaki sebelum terbakar di Batu 4, Jalan Paloh di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Azmi Mohd Bani berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.22 pagi sebelum 10 anggota dan dua jentera termasuk ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan penyelamat di tempat kejadian, kami mendapati sebuah treler yang terjatuh ke dalam gaung berkedalaman kira-kira 20 kaki telah terbakar dan pemandunya berjaya menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian treler berkenaan tidak membawa sebarang muatan dan telah terbakar kira-kira 80 peratus. Tindakan operasi pemadaman telah dilakukan menggunakan dua aliran salur bantu mula air tangki pam jentera,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, mangsa, Mohd Nuri Lokman, 50, mengalami kecederaan di bahagian dada sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!