'Ya ALLAH tolong...'

Keadaan rumah didiami tiga beranak yang ditemui rentung dalam kebakaran pagi tadi. (Gambar kecil: Mohd Sharidan Abdul Aziz, 29, dan isteri, Siti Rafini Mohd Rafiee, 27, bersama anak tunggal lelaki mereka, Rafiq, 14 bulan)
Keadaan rumah didiami tiga beranak yang ditemui rentung dalam kebakaran pagi tadi. (Gambar kecil: Mohd Sharidan Abdul Aziz, 29, dan isteri, Siti Rafini Mohd Rafiee, 27, bersama anak tunggal lelaki mereka, Rafiq, 14 bulan)
A
A
A

HULU SELANGOR - "Abang bangun ada api.. Ya ALLAH, tolong."

Itu antara jeritan yang sempat didengar, Rabaiah Yunus, 58, jiran kepada sepasang suami isteri yang maut bersama bayi mereka dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam pagi tadi.

Rabaiah berkata, kejadian itu disedari sekitar jam 3.30 pagi selepas mendengar bunyi bising.

Dia yang tidur di bahagian ruang tamu pada mulanya menyangka ada kejadian curi namun terkejut apabila melihat api mula marak dari sebelah rumah.

"Ketika itulah saya dengar suara si isteri seolah mengejutkan suaminya dari tidur.

"Dia juga menjerit meminta tolong, namun seketika sahaja sebelum sayup-sayup hilang," katanya.

Dalam kejadian itu, Mohd Sharidan Abdul Aziz, 29, dan isteri, Siti Rafini Mohd Rafiee, 27, bersama anak tunggal lelaki mereka, Rafiq, 14 bulan ditemui rentung dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 pagi ketika ketiga-tiga mangsa sedang tidur.

Artikel Berkaitan:

Rabaiah berkata, kejadian berlaku awal pagi menyebabkan tiada penduduk yang bangun meskipun dia dan keluarganya menjerit meminta bantuan.

"Kami dah tak tentu arah dan buntu, nak tolong tapi tak boleh. Tak sampai lima minit api dah besar sampai ke dapur, jerit sana sini panggil jiran pun tak ada sesiapa yang dengar.

Keadaan rumah didiami tiga beranak yang ditemui rentung dalam kebakaran pagi tadi.
Keadaan rumah didiami tiga beranak yang ditemui rentung dalam kebakaran pagi tadi.

"Anak saya cuba panggil mangsa keluar, tapi tak berjaya juga," katanya yang ketika kejadian bersama suami, anak dan menantu serta seorang cucu.

Dia mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat membantu mangsa yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

"Sampai sekarang masih terngiang suara meminta tolong itu, makcik sedih mengenangkan macam manalah mereka di dalam ketika kebakaran berlaku," katanya.

Difahamkan, tiga beranak berkenaan baharu berpindah menyewa ke rumah itu, Disember lalu.

Sementara itu, bapa Mohd Sharidan, Abdul Aziz Mohd Idris, 58, yang ditemui di lokasi kejadian reda dengan kejadian itu dan menganggap ia ujian buat mereka sekeluarga.

Katanya, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik menjalankan perniagaan sendiri dan seorang yang bertanggungjawab dengan mengambil berat keperluan ahli keluarga lain.

"Boleh katakan dialah anak paling rapat dengan kami, setiap pagi dan petang selepas balik berniaga, dia akan singgah di rumah untuk menjenguk saya dan isteri.

"Sudah tentulah ketiadaannya akan dirasai kerana dia anak paling senang membantu apabila diperlukan," katanya.

Dia yang tinggal selang beberapa rumah dari kediaman mangsa dimaklumkan kejadian itu oleh penduduk kampung sekitar jam 3.30 pagi.

"Saya nampak api dah menjulang tinggi, tapi ketika itu dah tak boleh nak buat apa, kami hanya boleh berserah dan reda dengan kejadian ini," katanya.

Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Slim River bagi tujuan bedah siasat dan dijangka dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Slim, Slim River.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami, isteri dan bayi maut dalam kebakaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!