Kalau risau saya tak kahwin: Eyra Hazali
PELAKON, Eyra Hazali memberitahu dia dan tunangnya yang juga merupakan penjaga gol skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli, bakal berkahwin pada November ini.
Bagaimanapun, pasangan yang bertunang pada 1 Disember tahun lalu masih merahsiakan tarikh pernikahan mereka.
Eyra, 20, ketika ditemui pada malam Anugerah Instafamous baru-baru ini berkongsi persiapan mengenai majlis raja seharinya.
"Alhamdulillah, setakat ini apa yang boleh saya kongsi semuanya sudah siapa 90 peratus dan saya berharap agar semuanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
"Tinggal lagi beberapa bulan sahaja, insya-ALLAH semuanya OK," jelasnya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, ditebak mengenai populariti selepas berkahwin, Eyra akui tidak bimbang andai tawaran berkurang.
"Ketika ini rezeki memang melimpah ruah, syukur ke hadrat Ilahi. Namun, saya tidak bimbang pun jika populariti jatuh atau tawaran semakin berkurangan apabila sudah berkahwin nanti.
"Saya percaya dengan rezeki-NYA, seandainya tawaran berkurang saya boleh buat perkara lain. Contohnya, mulakan perniagaan.
"Kalau saya bimbang, takkan lah saya nak kahwin," ujarnya tersenyum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!