Sarawak garis lima tindakan hadapi kemarau

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menggunakan kaedah water bombing untuk mengawal kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri. - Foto Bernama
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menggunakan kaedah water bombing untuk mengawal kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang diadakan hari ini, menggariskan lima pelan tindakan untuk menghadapi musim kemarau, yang dijangka berlarutan sehingga hujung Oktober ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata antara pelan tindakan kemarau itu ialah, pendalaman muka sauk Sungai Bayai di Batang Undup, dan kerja pemasangan guni pasir yang bertindak sebagai empangan air untuk menambah paras air mentah di muka sauk.

“Selain itu, membuang daun dan mendalamkan ‘Slump Raw Water’, penghantaran lori tanker di Sri Aman (kawasan terjejas) dan akhir sekali, menyediakan pusat pengambilan air setempat (flat Kerajaan Negeri di Jalan Kedang dan Pejabat JKR Sri Aman),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kebakaran hutan dan cuaca jerebu di Sarawak, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bilangan titik panas yang dikesan adalah sebanyak 26 titik panas, di mana Miri paling terjejas dengan mencatat tujuh titik panas.

“Sementara bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) di ILP Miri dan SK Kuala Baram 2 telah mencatatkan bacaan IPU yang Sangat Bahaya, manakala Sri Aman mencatatkan bacaan sangat tidak sihat dan lain-lain stesen adalah sederhana,” katanya.

Uggah yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri berkata faktor penyumbang kepada kebakaran adalah antaranya corak cuaca El-Nino, jerebu rentas sempadan, keadaan angin kuat yang tak dijangka memburukkan lagi keadaan dan keluasan tanah terbiar yang luas terdedah kepada kebakaran setiap tahun.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai penutupan sekolah yang terjejas dengan cuaca jerebu, Uggah berkata perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Guru Besar sekolah terlibat.

“Jika mengikut SOP (prosedur operasi standard) ketika menghadapi jerebu, sekiranya IPU melebihi 200, sekolah yang terjejas harus ditutup, namun keputusan itu terletak kepada Guru Besar sekolah berkenaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!