10 peratus peserta dapat hak milik tanah RTB
DUNGUN - Kerajaan Terengganu berjaya menyerahkan semula hak milik lot tanah di bawah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kepada kira-kira 10 peratus pemilik yang dinafikan hak oleh pentadbiran kerajaan negeri terdahulu di seluruh Terengganu setakat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyasarkan masalah melibatkan pemilik RTB itu atau dipanggil peserta terkilan akan dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun setengah lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, ia membabitkan pemilik tanah RTB yang diambil tanah mereka pada 2004 dan ke atas selepas berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu.
"Ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berkaitan hak milik tanah dan kita bermula dengan menyelesaikan masalah pemilik tanah RTB yang diambil tanah mereka.
"Pada masa sama kita juga cuba menyelesaikan isu-isu pemberian hak milik tanah yang lain," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan borang 5A RTB Beril Blok 3, Mukim Kuala Paka dan RTB Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Mukim Hulu Paka di Padang Astaka, Bandar Ketengah Jaya di sini petang semalam.
Seramai 245 peserta terkilan RTB Beril Blok 3 dan 33 peserta RTB AMBS menerima borang itu sebagai proses akhir untuk pemberian hak milik tanah di kedua-dua kawasan berkenaan.
Penyerahan borang itu dilakukan serentak dengan penyerahan dokumen hak milik tapak rumah dan ladang kepada seramai 413 peneroka Felda Kerteh 4 dan Felda Kerteh 5.
Ahmad Samsuri berkata, pemberian hak milik RTB itu adalah yang pertama dilakukan di Dungun setakat ini dan sebelum ini ia telah diadakan di Kemaman, Setiu dan Besut.
Katanya, majlis sama akan diadakan di Setiu minggu depan diikuti di kawasan-kawasan lain sehingga kesemua peserta mendapat semula hak mereka.
Berikutan itu, Ahmad Samsuri berharap peserta yang sudah menerima semula hak milik tanah memanfaatkan sepenuhnya tanah RTB yang diterima untuk membina rumah.
"Kepada yang belum terima diharap bersabar dan kita minta juga kepada wakil-wakil rakyat kita supaya dengar cadangan dan pandangan daripada rakyat di bawah dari semasa ke semasa bagaimana cara untuk mempercepatkan proses ini.
"Bagi RTB baharu, penyerahan hak milik memakan sedikit masa sebab setelah 14 tahun masa berlalu ada lot tanah telah diberi milik kepada orang lain dan bagi kes sebegini kita perlu cari tempat RTB baharu," katanya.
Katanya, keadaan itu memberi cabaran kepada kerajaan negeri kerana di daerah tertentu yang pesat membangun seperti di Kuala Terengganu, untuk mendapatkan tanah kerajaan yang masih kosong ia sukar.
"Jadi kerajaan negeri harap penerima boleh terima juga walaupun lot tanah RTB bukan terletak di kawasan tumpuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!