Rusuhan ganas di Manokwari, Papua Barat
JAKARTA - Situasi tegang melanda Manokwari, Papua Barat hari ini apabila satu himpunan disertai mahasiswa dan masyarakat setempat bertukar ganas.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Karo Penmas, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo berkata, rundingan telah dijalankan agar para perusuh membuka laluan yang disekat dan tidak melakukan pembakaran atau kerosakan.
"Rundingan bertujuan untuk memujuk perusuh agar tidak bertindak ganas dan membuka sekatan jalan," kata Dedi.
Seorang warga Manokwari, Edi Hartanto berkata, himpunan yang bermula sejak awal pagi menyebabkan penduduk tidak berani keluar rumah.
"Untuk sementara penduduk dilarang keluar rumah," kata Edi saat dihubungi CNNIndonesia.com sambil menambah beberapa jalan raya utama disekat dan beberapa warung makan di sekitar kampus Universiti Papua Manokwari turut terbakar.
Seorang lagi penduduk bernama Ishak berkata, situasi semakin tegang sekitar jam 10.00 pagi (waktu tempatan).
Rusuhan berlaku sebagai tanda protes susulan insiden 43 mahasiswa Asrama Papua di Surabaya dibawa secara paksa ke Balai Polis Resor Kota Besar (Mapolrestabes) pada Sabtu lalu kerana dituduh merosakkan bendera Indonesia yang terletak di asrama berkenaan.
Polis dikatakan tidak menjalankan siasatan terlebih dahulu malah melepaskan gas pemedih mata dan melemparkan makian kepada mahasiswa Papua terbabit.
Kesemua mahasiswa berkenaan bagaimanapun dilaporkan telah dihantar pulang ke asrama setelah disoal siasat. - CNNIndonesia/Detik.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!