Tabika Kemas Kampung Parit Pasir terbakar
PONTIAN - Sesi pembelajaran 20 murid Tabika Kemas Kampung Parit Pasir Pekan Nanas terjejas selepas bangunan tempat mereka belajar terbakar malam tadi.
Kebakaran turut melibatkan dua rumah bersebelahan tabika Kemas terbabit.
Pembantu Pembangunan Masyarakat Tabika Kemas Kampung Parit Pasir, Ariyanti Jamian berkata, kebakaran jam 8 malam itu melibatkan bilik darjah, bilik rawatan, bilik air dan dapur.
Menurutnya, bekalan makanan untuk enam bulan yang disimpan antaranya beras, tepung, gula dan ikan bilis turut terbakar.
"Kita sedang cari tabika berdekatan yang lebih sesuai untuk tempatkan murid-murid.
"Buat masa sekarang murid ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Parit Pasir," katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam tampil memberikan sumbangan barangan makanan dan keperluan harian kepada Tabika Kemas berkenaan.
Selain itu, dua lagi keluarga mangsa yang terlibat dengan kejadian kebakaran itu turut dibantu dengan masing-masing menerima bantuan makanan dan keperluan harian bernilai RM500 daripada Econsave.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!