Cinta hingga hujung nyawa

Ahli keluarga sebak memangku jenazah Rafiq, 14 bulan, yang meninggal dunia bersama kedua ibu bapanya dalam kebakaran pagi tadi.
Ahli keluarga sebak memangku jenazah Rafiq, 14 bulan, yang meninggal dunia bersama kedua ibu bapanya dalam kebakaran pagi tadi.
A
A
A

SLIM RIVER - Suami isteri yang maut bersama bayi mereka dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam, pagi tadi memang dikenali sebagai pasangan romantis dan sering berdua kemana-mana.

Perkara itu dikongsi abang mangsa, Sharizal Abdul Aziz, 35, yang memberitahu pasangan itu jarang berenggang hinggakan urusan perniagaan keluarga juga diusahakan bersama.

Sharizal
Sharizal

Menurutnya, sehari sebelum kejadian, pasangan itu bersama anak lelaki mereka sempat meronda keliling kampung menaiki motosikal.

“Semalam kami ada buat kenduri pertunangan sepupu menggunakan katering keluarga mentua arwah adik saya. Sebelah pagi, mereka memang sibuk menguruskan majlis.

“Selepas habis kenduri, saya lihat mereka meronda seluruh kampung dengan menaiki motosikal, mereka kelihatan sangat gembira, tak sangka kemesraan mereka itu rupanya petanda mereka akan pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini hari ini.

Kebakaran sekitar jam 3.30 pagi itu mengorbankan Mohd Sharidan Abdul Aziz, 29, dan isteri, Siti Rafini Mohd Rafiee, 27, bersama anak lelaki mereka, Rafiq, 14 bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ya ALLAH tolong...'

Dalam pada itu, bapa Siti Rafini, Rafie Hashim, 60, berkata, sikap serta keperibadian mulia anak dan menantunya itu tidak dapat digambarkan kerana mereka berdua sangat menghormati orang tua serta menyayangi ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan keluarga itu lewat petang semalam ketika datang mengambil pakaian adik mereka di Felda Besout untuk dihantar ke sekolah asrama.

"Menantu dan anak saya itu menjalankan beberapa perniagaan seperti peraih getah, mengusahakan ladang kelapa sawit dan menjual ayam gunting di kampung berkenaan.

“Sudah tentu pemergian mereka sekeluarga amat dirasai tambahan pula cucu saya yang masih kecil, mereka sangat rapat dengan kedua-dua belah keluarga.

“Apapun, pakcik reda dengan takdir yang ditentukan ALLAH,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Slim, Slim River selepas solat Zohor hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!