'Bunyi letupan kuat selepas solat maghrib'

Api sedang marak membakar dua buah rumah di Kampung Parit Pasir Pekan Nanas malam tadi.
Api sedang marak membakar dua buah rumah di Kampung Parit Pasir Pekan Nanas malam tadi.
A
A
A

PONTIAN - Tindakan pantas dua beranak untuk keluar dari rumah yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa mereka dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah rumah dan sebuah Tadika Kemas di Kampung Parit Pasir, Pekan Nanas malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu mangsa, Nor Aznizah Mohd Noor, 35, bersama anaknya Mohd Faiq Aiman, 11, segera bertindak keluar dari rumah selepas melihat api marak di bahagian dapur rumah sewanya itu.

Nor Aznizah yang juga ibu tunggal berkata, insiden kebakaran itu disedari selepas terdengar bunyi letupan kuat ketika dia sedang berehat selepas menunaikan solat Maghrib.

"Saya terus keluar rumah ingatkan bunyi letupan dari luar rumah. Rupanya dapur rumah dah terbakar.

"Saya panggil anak Mohd Faiq dan cepat-cepat keluar dari rumah untuk selamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, dia kini hilang punca pendapatan selepas perkakasan membuat kuih yang menjadi punca rezeki hangus terbakar.

Sah Rudin( kanan) dan Mastura ( kiri) cuba mencari beberapa dokumen penting dalam sisa kebakaran di rumah mereka di Kampung Parit Pasir Pekan Nanas.
Sah Rudin( kanan) dan Mastura ( kiri) cuba mencari beberapa dokumen penting dalam sisa kebakaran di rumah mereka di Kampung Parit Pasir Pekan Nanas.

Seorang lagi mangsa, Sad Rudin Mohamad, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Mastura Gharif Jamal, 28, berada di masjid menunaikan solat Maghrib dan mengikuti kuliah agama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiga anak mereka berusia 3 tahun dan pasangan kembar berusia setahun turut dibawa ke masjid yang terletak kira-kira 2 kilometer (km) dari rumah sewa mereka yang terbakar itu.

"Jiran, Nor Aznizah telefon saya beritahu rumah terbakar. Saya bergegas pulang tetapi tak sempat hendak selamatkan apa- apa.

"Api marak membakar keseluruhan rumah yang dibina dari kayu dalam sekelip mata sahaja. Lepas itu ada percikan api dari wayar bekalan elektrik di luar rumah," katanya.

Sah Rudin yang bekerja sebagai penebar roti canai di gerai Majlis Daerah Pontian di Pekan Nanas kini tinggal sehelai sepinggang dan merancang untuk tinggal sementara di rumah ibu mertuanya di Parit Raja Batu Pahat.

Keadaan rumah sewa yang hangus terbakar di Kampung Parit Pasir Pekan Nanas, malam tadi.
Keadaan rumah sewa yang hangus terbakar di Kampung Parit Pasir Pekan Nanas, malam tadi.

Dia berharap agar bantuan rumah segera diberikan kepadanya memandangkan dia mempunyai tanah warisan keluarga di Pekan Nanas.

"Sudah tiga tahun saya bersama keluarga sewa rumah di sini dengan bayaran RM200 sebulan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Mahadir Mamat berkata, 10 anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 8.12 malam tadi.

Katanya, kebakaran melibatkan rumah jenis separuh kekal dan sebuah Tadika Kemas.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!