Isu rasis, hina etnik dan rosakkan bendera cetus rusuhan di Papua

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Isu rasis dan penghinaan etnik akibat dakwaan rosakkan bendera, mencetuskan demonstrasi dan rusuhan di Papua, Indonesia.

Ribuan etnik Papua mengadakan demonstrasi di Kota Manokwari dan Jayapura di Papua sejak awal pagi tadi, sebagai memprotes layanan dan penghinaan terhadap pelajar etnik Papua di Surabaya, Jawa Timur pada Jumaat lepas.

Menurut media tempatan, demonstrasi itu pada mulanya berlangsung secara aman, sebelum beberapa pihak bertindak agresif dengan membakar pejabat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Papua Barat dan premis- premis perniagaan dan kemudahan awam.

Demonstrasi ribuan warga Papua hari ini itu dipercayai berpunca daripada tindak balas mereka terhadap dakwaan berlakunya tindakan rasis dan penghinaan terhadap pelajar etnik Papua di Surabaya, Jawa Timur, pada 16 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Wiranto dalam satu kenyataan berkata, insiden 16 Ogos lepas itu adalah akibat tindakan penghinaan terhadap bendera Merah Putih (bendera Indonesia) di Surabaya, Jawa Timur, yang menyebabkan berlakunya tindak balas pihak lain.

Menurut laporan media tempatan, sekumpulan pelajar etnik Papua dilaporkan membuang dan merosakkan bendera yang dipasang di Asrama Mahasiswa Papua di Surabaya, sebelum asrama itu dikepong pihak polis dan tentera serta masyarakat setempat.

Media tempatan melaporkan, seramai 43 pelajar etnik Papua itu ditahan untuk siasatan dan didakwa dimaki hamun penduduk setempat dengan pelbagai gelaran yang rasis dan hina.

Isu itu menjadi tular di media sosial, yang akhirnya mencetuskan demonstrasi dan rusuhan di Papua hari ini.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Polis Indonesia, Brig. General Dedi Prasetyo berkata sehingga 3 petang ini, keadaan di Papua dilaporkan terkawal. - Bernama

"Tiga anggota polis cedera dalam kejadian rusuhan itu akibat terkena lemparan batu, namun keadaan di Jayapura dan Kota Manokwari kini telah kembali tenang dan terkawal," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!