Macau Scam: Pengurus kilang besi rugi lebih RM100,000

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita berputih mata apabila diperdaya sindiket penipuan Macau Scam selepas menerima panggilan telefon meminta mangsa melakukan beberapa pemindahan wang sehingga mencecah RM129,290.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, mangsa dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Chew’, awal bulan ini.

Menurutnya, wanita berusia 40 tahun yang berasal dari Kulim itu menerima panggilan telefon daripada suspek dengan memerangkap mangsa kononnya mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan akan ditahan.

“Suspek berjaya yakinkan mangsa dia dapat bantu selesaikan masalah itu dengan menyenaraikan akaun bank dimiliki mangsa, seterusnya memindahkan kesemua wang milik mangsa ke akaun bank diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Annuar Amri berkata, mangsa turut diugut suspek supaya tidak memberitahu perkara itu kepada pihak lain sekiranya mahu kes terbabit diselesaikan segera.

“Mangsa panik dan percaya dengan kata-kata suspek lalu mengikut arahan diberikan. Bermula pada 7 hingga 10 Ogos, mangsa melakukan lima kali transaksi kemasukan wang ke atas dua akaun bank diberikan suspek,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya, mangsa memindahkan RM50,670, diikuti RM64,800, serta RM3,520, sebelum diminta tambahan RM3,700 dan RM6,600.

“Mangsa mengalami kerugian sehingga RM129,290. Kesemua wang adalah simpanan mangsa semasa bekerja di beberapa kilang sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Annuar Amri berkata, selepas kesemua wang simpanan mangsa dipindahkan, suspek berjanji akan memulangkan wang berkenaan dalam tempoh tiga hari siasatan, namun suspek gagal dihubungi.

“Mangsa yang bekerja sebagai penolong pengurus kilang besi di Kulim berasa ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim semalam,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kami nasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai polis atau mana-mana agensi penguat kuasa. Pihak berkuasa tidak menjalankan siasatan melalui panggilan telefon atau meminta memindahkan wang ke akaun bank,” katanya.

Annuar Amri berkata, setakat Januari hingga Julai lalu, sebanyak 113 kertas siasatan melibatkan modus operandi sama dibuka melibatkan kerugian RM2.9 juta di Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!