Dr Mahathir diisytihar sebagai Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad hari ini diisytiharkan sebagai Presiden Agung, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).
Pengisytiharan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengakap Negara Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh di Pejabat Perdana Menteri di sini.
Pengisytiharan itu juga adalah selaras dengan Prosedur Organisasi dan Pindaan (POR) pindaan 27 Mac 2010, Bahagian II, Seksyen 1 yang mana Perdana Menteri adalah Presiden Agung PPM.
Pada majlis yang sama, Dr Mahathir juga menerima Anugerah Bintang Semangat Padi Kelas Pertama (Emas) iaitu anugerah tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia.
Dalam pada itu, Shafie berkata pengisytiharan itu secara langsung mampu mengangkat imej PPM bukan sahaja di peringkat negara malah antarabangsa lebih-lebih lagi Ibupejabat Pergerakan Pengakap Sedunia telah lima tahun berada di Kuala Lumpur.
"Manakala Anugerah Bintang Semangat Padi Kelas Pertama (Emas) pula adalah anugerah eksklusif yang hanya diberi dikalangan pemimpin negeri-negeri dan negara," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!