Isytihar harta: Ahli Parlimen perlu jujur, kata Latheefa

Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

SHAH ALAM - Semua Ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta masing-masing termasuk sumber pendapatan daripada wasiat, pusaka mahupun derma.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, semua Ahli Parlimen perlu jujur berhubung perkara itu bagi mengelak timbulnya masalah kemudian hari.

“Semua Ahli Parlimen kena isytihar aset secara penuh, kena beritahu daripada sumber mana. Jika dia (Ahli Parlimen) ada dapat gaji (daripada sumber lain), dia kena isytihar ada dapat gaji.

“Contohnya dia ada pak cik kaya sudah meninggal dunia dan beri harta pusaka kepada dia, dia kena isytihar. Contohnya ada orang bagi dia hadiah dan derma dalam jumlah besar, dia kena isytihar.

“Adalah lebih baik isytihar awal-awal, jangan apabila sudah kena (tangkap SPRM) baru hendak isytihar. Dia juga kena isytihar liabiliti, jadi SPRM dapat bandingkan antara aset dan liabiliti,” katanya pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam hari ini.

Latheefa berkata, SPRM menyeru setiap kerajaan Negeri bukan sahaja di Selangor malahan di seluruh negeri supaya mengisytihar harta yang mana tidak terhad kepada Exco tetapi juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis (PBT).

Katanya, ahli politik mempunyai akses kepada dana awam yang mendapat peruntukan kawasan juga tidak terkecuali untuk mengisytihar harta.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mewajibkan Ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen pembangkang adalah tidak adil kerana mereka turut memiliki sumber pendapatan lain selain elaun Ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Najib berkata, adalah tidak adil jika seseorang Ahli Parlimen yang mempunyai punca pendapatan lain kemudian diisytihar sebagai aset serta dimasukkan sebagai punca pendapatan sebagai Ahli Parlimen.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Dalam pada itu, Latheefa juga meminta media tidak mensensasikan isu melibatkan timbalannya Azam Baki.

Latheefa berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan status Azam yang didakwa sedang bercuti sakit.

"Saya menggesa supaya media henti mensensasikan semua benda yang dilakukan oleh agensi ini, kita mesti bebas dari politik, kami sudah katakan bahawa ia tiada isu, orang yang ambil cuti sakit, bukanlah satu berita.

"Biar kami lakukan kerja kami, apa-apa yang dilakukan oleh SPRM dan perkara yang dalam tugasan kami, henti sensasikannya, henti mempolitikkannya, ” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!