Jakim mudahkan usahawan luar bandar miliki sijil halal
SHAH ALAM - Kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama agensi pembimbing melalui Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) telah membuahkan hasil apabila ramai usahawan luar bandar berjaya mendapatkan sijil halal mereka.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, kerjasama melalui inisiatif itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pemilikan sijil halal adalah lebih mudah dan tidak sesukar yang didakwa kebanyakan pihak.
Menurutnya, hasrat untuk meningkatkan jumlah pemegang sijil halal di kalangan usahawan luar bandar sentiasa mendapat perhatian yang serius oleh Jakim.
“Sebenarnya, kerjasama sebegini telah membuahkan hasil sejak tahun 2017 sewaktu Jakim mula memperkenalkan ISPHM yang bermatlamat untuk mempercepatkan proses pensijilan halal yang diuruskan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
“Hakikatnya, inisiatif ini seringkali diuar-uarkan Jakim untuk pengetahuan agensi pembimbing demi menarik minat usahawan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM),” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jakim berjaya membina jaringan kerjasama dengan tujuh agensi pembimbing usahawan terdiri daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Perbadanan Putrajaya, Persatuan peladang dan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Program kesedaran dan bimbingan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan maklumat pensijilan halal disampaikan dengan tepat.
“Selain perkongsian kejayaan oleh usahawan di bawah agensi terlibat juga adalah bukti kukuh bahawa mendapatkan SPHM adalah mudah, cepat dan pantas sekiranya memahami selok-belok serta mendapat kerjasama sepenuhnya dari agensi pembimbing dari segi pembangunan fasiliti, penjenamaan yang berkesan, pembungkusan yang menarik dan premis yang terkawal,” jelasnya.
Tambahnya, pensijilan halal Malaysia bukan sekadar menumpukan kepada halal produk semata-mata, tetapi merangkumi aspek ketulenan, kebersihan, kualiti dan keselamatan yang menjadi ciri-ciri keunggulan SPHM dipandang tinggi seantero dunia.
“Jakim sememangnya komited meneruskan agenda meningkatkan jumlah pemegang ISPHM di kalangan usahawan luar bandar agar setanding dengan produk lain di pasaran dari aspek perakuan status halal berpandukan standard yang telah ditetapkan.
“Di samping itu, Jakim menyeru agar semua pihak berperanan secara aktif menurut bidang tugas dan kepakaran tersendiri yang telah ditetapkan agar kelangsungan industri halal tumbuh subur dan mekar menurut prosedur, garis panduan, peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!