Penggal, campak kepala isteri dalam terusan
VIJAYAWADA - Dalam satu insiden mengerikan, seorang lelaki berusia 24 tahun di India memenggal kepala isterinya lalu mencampakkannya ke dalam sebuah terusan di Andhra Pradesh.
"Operasi mencari kepala mangsa sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa dan nelayan tempatan.
"Sebuah telefon bimbit dan senjata yang digunakan untuk melakukan jenayah terbabit turut dicari," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Vijayawada kepada agensi berita ANI.
Menurut polis, pada 11 Ogos lalu tertuduh dikenali sebagai Pradeep Kumar, datang ke rumah isterinya, Manikranti di Srinagar dan memenggal kepala mangsa.
Keseluruhan insiden terbabit dirakam menerusi kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di mana tertuduh dilihat berlari sambil memegang sabit dan kepala mangsa.
Seorang konstabel lalu lintas yang ternampak Pradeep dengan baju berlumuran darah segera menghubungi polis yang kemudian menahan tertuduh.
Pasangan berkenaan berkahwin pada tahun 2015 namun tinggal berasingan berikutan masalah rumahtangga.
Difahamkan, mangsa pernah membuat aduan keganasan domestik terhadap Pradeep yang menyebabkannya ditahan.
Polis berkata, Pradeep yang baru dibebaskan dengan jaminan membunuh isterinya kerana dendam. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!