Kekangan teknologi faktor duku sukar jadi produk hiliran

Mohd Anis (dua dari kanan) diiringi Fauzi (kanan) melihat hasil buah duku di kebun seorang usahawan duku FAMA di Kampung Durian Bador, Hulu Terengganu, semalam.
Mohd Anis (dua dari kanan) diiringi Fauzi (kanan) melihat hasil buah duku di kebun seorang usahawan duku FAMA di Kampung Durian Bador, Hulu Terengganu, semalam.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Ketiadaan teknologi bersesuaian antara faktor yang menyebabkan buah duku belum dapat diinovasikan menjadi produk hiliran selain sukar dieksport ke luar negara kerana jangka hayatnya terlalu pendek.

Pengarah Kanan Khidmat Pemasaran (Segar) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohd Anis Mohd Yasin berkata, beberapa percubaan ke arah itu telah dilakukan namun belum berhasil.

"Kita cuba dapatkan satu teknologi iaitu cip yang boleh dilekatkan pada kotak, di mana jangka hayat duku ini boleh dilanjutkan dua hingga tiga minggu berbanding sekarang antara dua hingga tiga hari sahaja. Kita dalam proses mencuba dahulu.

"Jika berjaya duku kita ini boleh dipasarkan menembusi luar negara tetapi buat masa ini dengan jangka hayat yang ada amat sukar berbuat demikian. Bagaimanapun ada pihak swasta yang telah memasarkan ke Singapura dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara FAMA dengan Usahawan Duku dan perbincangan antara Bahagian Urusniaga FAMA Ibu Pejabat bersama petani atau pengumpul komoditi duku di Kampung Durian Bador di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed dan pada majlis itu seramai 11 usahawan duku dari seluruh Terengganu memeterai perjanjian tersebut.

Mohd Anis berkata, FAMA akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mencari jalan sebagai usaha meningkatkan kepelbagaian penggunaan buah duku.

Katanya, jika dapat diproses seperti buah durian tentunya ia akan meningkatkan hasil pertanian sekali gus meningkatkan lagi taraf ekonomi pekebun atau petani.

Artikel Berkaitan:

"Percubaan atau kajian dilakukan sebelum ini dengan pihak swasta bagi menjadikan duku sebagai jus, namun belum ada hasil yang positif untuk dikomersialkan atau dipasarkan ke peringkat antarabangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!