Khat dan paranoia Malaysia

A
A
A

PADA sidang akhbar 8 Ogos 2019, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Kabinet Malaysia yang bermesyuarat pada 7 Ogos 2019 telah menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah.

Beliau menegaskan bahawa Jemaah Menteri dalam keputusannya memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks.

Jemaah Menteri juga secara sepakat bersetuju agar pengenalan tulisan khat tidak akan dinilai dalam apa-apa ujian dan peperiksaan.

Sudah tentu ada golongan yang terus bertempik sambil menuduh bahawa dengan mengurangkan halaman pengajaran khat daripada enam kepada tiga halaman, sekali lagi kerajaan Persekutuan tunduk kepada tekanan golongan cauvinis.

Dengan mood yang tidak mahu mengalah, gegak gempita didengari daripada golongan yang menentang pula.

Mereka menzahirkan amarah mereka dengan mendesak kerajaan supaya jangan tunduk kepada golongan rasis; sekali gus menuntut dinyahkan khat Arab-jawi daripada sekolah.

Sekali lagi emosi Malaysia meledak. Selamat datang ke era paranoia di Malaysia.

Pada 17 Ogos 2019, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Datuk A Aziz Deraman menggesa semua pihak menghentikan segera pertikaian tentang pelaksanaan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Tegas beliau, puluhan ribu warisan naskhah manuskrip Melayu berselerak di serata dunia, tersimpan di London, Leiden, Leningrad, Paris, Johannessburg dan beberapa negara dan kota lain memerlukan kajian.

Sebab itulah penguasaan tulisan jawi menjadi sangat signifikan. Berikut ialah sebahagian daripada Pernyataan Media DBP pada 9 Ogos 2019 dan bertajuk Pengenalan Seni Tulisan Khat di Sekolah Jenis Kebangsaan: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong dan mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni tulisan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Pengenalan aspek kaligrafi atau seni tulisan melalui khat ini merupakan suatu pengisian tambahan yang relevan kerana langkah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan murid terhadap aspek seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Dewan Bahasa dan Pustaka berpandangan bahawa tradisi penulisan sesuatu bahasa adalah suatu ukuran kejayaan yang hebat pencapaiannya oleh sesuatu masyarakat yang menggunakan bahasa berkenaan.

Dalam konteks itu, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan di negara ini mempunyai sejarah tulisannya yang hebat iaitu tulisan jawi.

Tulisan jawi yang dikenal juga sebagai tulisan Melayu ialah warisan bahasa Melayu yang ulung kerana dengan sistem tulisan inilah segala kearifan tempatan atau watan yang sebelumnya disebarkan atau diwariskan secara lisan telah dapat diabadikan dalam bentuk manuskrip dan kemudiannya dicetak dalam bentuk buku.

Sejarah lampau merakamkan bahawa tradisi bahasa Melayu persuratan rancak perkembangannya dengan adanya sistem tulisan Melayu ini.

Malah, pada ketika itu, ada catatan yang menyatakan bahawa sesiapa sahaja di alam Melayu tanpa mengira etnik perlu menguasai tulisan jawi sekiranya mereka ingin meningkatkan ilmu dan kemajuan diri.

Tulisan jawi ialah suatu sistem tulisan yang luwes atau fleksibel, iaitu bukan sahaja bahasa Melayu, malah bahasa lain juga boleh dituliskan dalam jawi.

Dalam hubungannya dengan undang-undang di negara ini, Akta 32 (Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967) menyatakan bahawa: "Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan jawi, bagi bahasa kebangsaan."

Tulisan jawi ialah suatu sistem tulisan yang luwes atau fleksibel, iaitu bukan sahaja bahasa Melayu, malah bahasa lain juga boleh dituliskan dalam jawi."

*Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!