Cara selamat membina otot badan
SUDAH lama anda pergi ke gimnasium untuk membina otot badan, namun keadaan tubuh masih pada tahap yang sama. Tiada perubahan bentuk badan yang ketara.
Apakah puncanya anda tidak berjaya membina otot badan?
Masalah itu mungkin berlaku disebabkan:
1. Tidak cukup latihan
Anda menipu dalam latihan, faktor ini biasa berlaku apabila anda sudah penat semasa berlatih. Mungkin juga kerana anda tiada dorongan.
Anda perlukan sokongan untuk membantu supaya dapat berlatih lebih daripada kebolehan anda.
Sekiranya masih tampuk yang sama setiap kali datang ke gim, berat badan tidak akan berubah kerana melakukan pengulangan senaman yang sama saja. Anda akan kekal seperti itu sepanjang tahun.
2. Tidur tidak cukup
Anda perlukan tujuh hingga lapan jam sehari tidur bagi seorang yang melakukan latihan di gim. Tidur yang tidak cukup akan membuatkan pembesaran otot sukar untuk membesar ke tahap yang optimum.
3. Sumber protein
Matlamat anda untuk membina otot, anda perlukan protein yang cukup. Bukan makan salad dengan banyak, melainkan anda ingin mengurangkan berat badan. Cuba dapatkan daging segar berbanding makan di restoran makanan segera.
4. Terlalu kerap latihan kardio
Latihan kardiovaskular penting dalam membina otot kerana ia membantu menguatkan otot pada jantung. Melakukan seminggu dua kali selama 30 minit adalah masa yang optima. Sekiranya matlamat anda untuk membina otot dan kekuatan, latihan kardio tidak perlu mendominasi program latihan itu. Anda perlu memperbanyakkan latihan kekuatan di gim dengan kekerapan tiga hingga empat kali seminggu.
5. Tanpa perancangan lebih teratur
Lakukan perancangan teliti dengan mempunyai program latihan teratur dan terperinci. Program yang dibuat perlulah mempunyai beberapa info penting seperti kekerapan atau berapa kali seminggu anda akan berlatih, jumlah intensif pada minggu atau bulan tersebut. Perhatikan jenis latihan yang akan dilakukan dan tempoh masa latihan sama ada pagi atau petang.
Semoga maklumat diberikan membantu anda membina otot badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!