Maqis perlu tambahan 800 anggota baharu: Salahuddin
SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) memerlukan tambahan 800 anggota baharu bagi berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran di 57 pintu masuk di Semenanjung Malaysia dan Labuan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Maqis dengan kekuatan 463 anggota sekarang adalah tidak mencukupi untuk berdepan dengan pelbagai isu seperti penguatkuasaan, penyeludupan spesis benih dan penyakit.
"Sekarang ini pula isu berkaitan pembelian dalam talian membabitkan barang (keluaran pertanian dan agromakanan) dapat melepasi operasi manual.
"Ini sudah pasti memerlukan kepakaran dan peralatan yang semakin canggih," katanya kepada media selepas majlis lafaz ikrar dan pelancaran Keramat Maqis di sini hari ini.
Menurutnya, isu penambahan anggota Maqis itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ini bukan satu permohonan yang suka-suka tetapi saya faham betapa pentingnya jumlah anggota penguatkuasaan ditambah,” katanya.
Dalam pada itu, Salahuddin berbangga kerana setakat ini tiada isu berkaitan anggota Maqis terlibat dengan salah guna kuasa atau didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Keramat Maqis yang dilafazkan setiap hari sebelum pertukaran syif akan menjadi peringatan kepada anggota tentang betapa pentingnya menjaga integriti dan tidak melakukan penyelewengan semasa bertugas, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!