Zakir Naik mohon maaf, tak mahu salah faham berlanjutan

Zakir - Foto Bernama
Zakir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik membuat permohonan maaf terhadap mana-mana pihak yang tersinggung dengan ucapannya yang didakwa disalah tafsir pihak-pihak tertentu baru-baru ini.

Menurutnya, situasi yang berlaku itu berlaku tanpa niatnya dan permohonan maaf dibuat bagi mengelakkan salah faham berlanjutan.

"Walaupun saya telah membuat penjelasan, namun saya ingin memohon maaf kepada mereka yang tersinggung atas salah faham yang berlaku ini.

"Saya tidak mahu ada pihak yang tersinggung dengan saya dan bukanlah niat saya untuk menyentuh mana-mana individu atau masyarakat kerana ia adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zakir mendakwa situasi yang berlaku adalah disebabkan tindakan beberapa pengkritik yang cuba menghalangnya daripada melaksanakan misi menyebarkan keamanan di seluruh dunia.

"Saya adalah individu yang membawa mesej keamanan kerana keamanan itu tertulis di dalam al-Quran dan ia menjadi misi utama saya untuk menyebarkannya ke seluruh dunia. Tapi malangnya saya terpaksa berhadapan dengan pengkritik-pengkritik yang cuba menghalang melaksanakan misi itu.

"Seperti yang berlaku sejak beberapa hari ini, saya telah dituduh menimbulkan isu perkauman di negara ini. Pengkritik itu telah menokok tambah dan menggunakan ayat tertentu daripada keseluruhan konteks ucapan saya sehingga saya diminta membuat kenyataan polis," katanya.

Pada masa sama, Zakir tidak menafikan kejadian yang berlaku itu telah menyebabkan orang bukan Islam menganggapnya sebagai seorang yang rasis.

"Saya berasa sedih dan apa yang membimbangkan, mereka yang terasa hati dengan salah faham ini sebenarnya tidak mendengar ucapan saya sepenuhnya tapi hanya berdasarkan petikan di luar konteks saya.

Artikel Berkaitan:

"Ini amat membimbangkan kerana ia membawa kesan buruk kepada imej Islam sekali gus menjauhkan orang bukan Islam daripadanya. Rasisme adalah perlakuan yang saya tegah, sama seperti al-Quran malah ia sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai pendakwah Islam.

Lebih 70,000 pengunjung membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV untuk mengikut secara dekat perkongsian ilmu oleh Zakir Naik.
Lebih 70,000 pengunjung membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV untuk mengikut secara dekat perkongsian ilmu oleh Zakir Naik.

Justeru, Zakir menyeru agar orang ramai terutamanya orang bukan Islam untuk meneliti keseluruhan ucapannya agar salah faham itu dapat dirungkaikan.

"Syarahan penuh saya boleh ditonton melalui YouTube, Peace TV, dan aplikasi mudah alih TV Peace.

"Saya juga tersentuh dengan ribuan sokongan yang diberikan terhadap saya. Saya ucapkan terima kasih kepada anda semua," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Zakir Naik kemuka surat tuntutan terhadap empat pihak lagi

Lebih 10 jam rekod keterangan Zakir Naik

Zakir Naik kata ucapannya disalah tafsir, berniat jahat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!