Tiga rentung: Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti
BERA - Identiti tiga mangsa yang maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer (KM) 43 Jalan Temerloh-Bahau awal pagi tadi masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, pemandu dan dua penumpang kereta jenis Proton Wira terbabit ditemui rentung selepas tersepit dalam kenderaan yang terbakar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kereta Proton Wira dari Triang menghala ke Kemayan terbabas memasuki lorong bertentangan dan melanggar lori jenis Mitsubishi terbabit.
"Lori berkenaan yang dari Kemayan menghala ke Temerloh itu pula hilang kawalan lalu melanggar lori jenis Nissan UD arah sama menyebabkan lori Mitsubishi itu berpatah balik dan terbakar manakala lori Nissan itu terbabas lalu memasuki ke longkang di sebelah kanan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga rentung dalam nahas tiga kenderaan
"Pemandu dan dua penumpang Proton Wira maut di tempat kejadian akibat kebakaran dan pemandu kedua-dua lori berusia 40 dan 48 tahun itu selamat, namun kelindan lori Nissan berusia 25 tahun mengalami kecederaan ringan di kaki kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
"Setakat ini identiti kesemua mayat masih belum dapat dikenalpasti dan sedang berusaha menjejaki waris selain meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
"Siasatan lanjut diteruskan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!