Melaka kekal pendirian tidak benar Zakir ceramah
MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka hari ini mengulangi pendirian untuk tidak membenarkan penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah di Melaka.
Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, larangan itu kekal walaupun Zakir telah membuat permohonan maaf susulan ucapannya yang mengguris hati masyarakat bukan Islam.
Menurutnya, apa yang lebih penting dan menjadi keutamaan kerajaan negeri adalah menjaga keharmonian rakyat Melaka.
Beliau berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri tidak menghalang penganjuran wacana ilmu di negeri ini sekiranya penceramahnya tidak melanggar aspek melibatkan ketenteraman negara, keharmonian dan perpaduan kaum sebagaimana ditetapkan.
"Berdasarkan kepada asas-asas yang telah kita sebutkan tadi, selagi asas-asas itu tidak dipatuhi maka larangan itu kekal.
ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik mohon maaf, tak mahu salah faham berlanjutan
"Kerajaan negeri tidak menghalang Melaka sebagai lokasi wacana ilmu namun aspek yang boleh mengganggu-gugat perpaduan kita tidak benarkan," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di Pejabat Daerah Jasin di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Hasim Hassan dan Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Yuhaizad Abdullah.
Adly yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Katil berkata, perkara dan peraturan yang sama turut dikekalkan kepada penceramah tempatan supaya isu-isu yang dinyatakan dalam surat kebenaran berceramah tidak disentuh.
Sebelum ini, Adly membuat kenyataan membenarkan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin berceramah di negeri ini walaupun segelintir rakyat membantah seperti mana insiden yang berlaku di sebuah Masjid di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!