Dua rakan dipenjara 7 tahun, sebat rompak bersenjata

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan masing-masing dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata terhadap juruwang warga Bangladesh di sebuah kedai serbaneka, Jun lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Amirul Akmal Mohd Razlik, 28, dan Ahmad Saberi Zulkifli, 30, selepas kedua-dua tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah kemudian memerintahkan Mohd Amirul Akmal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Ahmad Saberi yang bekerja sebagai penghantar barang menjalani hukuman penjara bermula pada tarikh jatuh hukum hari ini.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas Rahman Anisur, 20, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebilah sabit di 7Eleven Kompleks Pasar Borong, Jalan Ipoh di sini pada 12 tengah hari, 28 Jun lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin memohon hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dengan alasan kejadian itu berlaku di tempat awam.

Bagaimanapun, Mohd Amirul Akmal dan Ahmad Saberi yang masing-masing tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung keluarga.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian Mohd Amirul Akmal telah masuk ke dalam kedai itu dan berpura-pura mahu membeli kad tambah nilai telefon sementara Ahmad Saberi menunggu di luar.

Namun, semasa mangsa mengambil kad tambah nilai telefon itu Mohd Amirul Akmal telah mengeluarkan pisau pemotong daging lalu mengugut juruwang dan mengambil wang tunai RM148.60.

Artikel Berkaitan:

Ketika Mohd Amirul Akmal sedang mengambil wang tunai itu, mangsa telah menangkap tertuduh dan kemudiannya memanggil rakan sekerja yang berada di stor kedai itu untuk membantunya.

Berikutan itu, berlaku pergelutan dan Ahmad Saberi yang berada di luar kedai masuk dengan sabit di tangannya untuk membantu Mohd Amirul Akmal .

Kedua-dua tertuduh berjaya melarikan diri dan mangsa kemudiannya membuat laporan di balai polis berdekatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!