Kelantan gagal ketepi kes saman tanah adat orang asli
KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Kerajaan Kelantan untuk mengetepikan saman difailkan Kerajaan Persekutuan yang mewakili komuniti orang asli suku Temiar dalam tuntutan pengiktirafan hak tanah adat di Pos Simpor, Gua Musang.
Keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, sekali gus memberi laluan kepada perbicaraan kes membabitkan tuntutan hak tanah tradisi seluas 29,000 hektar tersebut diteruskan.
Peguam Kerajaan Persekutuan, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar ketika ditemui berkata, kesemua tujuh defendan termasuk defendan pertama iaitu Kerajaan Kelantan mengemukakan permohonan untuk membatalkan tuntutan saman tersebut pada bulan lalu.
“Antara alasannya, mereka (Kerajaan Kelantan) mempunyai hak untuk memberi lesen kepada pembalak dan penanaman durian, sebaliknya orang asli pula tidak berhak membawa kes itu ke mahkamah.
“Pada hari ini mahkamah berpendapat sebaliknya, iaitu orang asli berhak mengemukakan tuntutan kerana mereka tinggal di tanah itu dan bergantung pada tradisi nenek moyang.
"Jadi, boleh cabar kerajaan negeri di mahkamah kerana memberi lesen-lesen balak hingga menjejaskan tanah adat mereka,” katanya kepada pemberita selepas keputusan diperoleh di mahkamah itu tadi.
Terdahulu, pada 16 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan (plaintif) memfailkan saman terhadap Kerajaan Kelantan sebagai defendan pertama diikuti Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan (kedua); Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (ketiga) serta lima lagi entiti swasta.
Plaintif mewakili 892 komuniti orang asli suku Temiar di sembilan kampung di Pos Simpor, Gua Musang menuntut hak tanah adat yang sudah didiami sejak turun-temurun.
Plaintif diwakili tujuh peguam diketuai Gurdial Singh, manakala Kerajaan Kelantan dan agensi diwakili peguam Tun Salleh Abbas serta entiti swasta diwakili peguam masing-masing.
Gurdial Singh berkata, mahkamah turut menetapkan 25 September depan sebagai tarikh perbicaraan injunksi yang dimohon Kerajaan Persekutuan supaya tidak ada sebarang pencerobohan syarikat balak, aktiviti menanam durian di Pos Simpor, Gua Musang sehingga perbicaraan kes berkenaan selesai.
Sementara itu, Kompleks Mahkamah Kota Bharu Tunjong tersebut dipenuhi kira-kira 300 orang asli suku Temiar dari Pos Simpor Gua Musang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi yang hadir menaiki tiga bas dan pelbagai jenis kenderaan sendiri.
Mereka turut melaungkan kata-kata semangat dan gembira menerima keputusan itu.
Peguam yang terkenal dengan kelantangan bersuara, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim juga menghadiri prosiding itu sebagai peguam pemerhati bagi orang asli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!