UMNO boleh bantu Utusan jika PH tidak beku akaun: Annuar Musa
KUALA LUMPUR – UMNO menepis dakwaan kononnya parti itu mahu 'mencuci tangan' dan tidak menghulurkan bantuan kepada kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang pernah menjadi lidah rasmi parti Melayu tersebut.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebaliknya UMNO sedia membantu terutamanya aspek kebajikan kakitangan syarikat penerbitan akhbar tertua itu sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyahbekukan akaun parti itu susulan mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Kalau esok akaun tidak dibekukan, kita ada RM200 juta, kita boleh bantu kebajikan kakitangan. Kita sedang fikir apa yang boleh kita bantu.
"Tak betul kata UMNO cuci tangan, UMNO sentiasa membantu Utusan. Masalah dalam Utusan ini bukan sehari dua, mereka sudah lama ada masalah," katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn hari ini.
Annuar menjelaskan, masalah yang dihadapi oleh Utusan bukan melibatkan isu politik, sebaliknya syarikat penerbitan itu berdepan masalah kerugian dalam perniagaan.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, UMNO juga sejak sekian lama sentiasa membantu syarikat itu ketika mereka memerintah.
"Kalau kerajaan nyah beku akaun, kami boleh bantu Utusan. Wang tunai dan akaun dibekukan lebih setahun dan jadikan UMNO sesak, kalau tidak kami boleh bantu Utusan dengan lebih baik.
“Kami (UMNO) kini hanya pemegang saham minoriti dalam Utusan iaitu 18.17 peratus. UMNO juga tidak boleh campur tangan dalam editorial dan operasi harian Utusan," katanya.
Hal demikian, katanya, UMNO akan memberi ruang kepada ahli lembaga pengarah Utusan untuk menentukan langkah yang akan diambil terhadap syarikat akhbar tersebut.
Semalam, Utusan mengumumkan akan menghentikan penerbitan dua akhbarnya, Utusan Melayu dan Kosmo! bermula Khamis ini untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan susulan berdepan krisis kewangan yang tidak menentu.
ARTIKEL BERKAITAN: Utusan Melayu mungkin ditutup, tiada wang bayar gaji
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!