Zahiril Adzim berhabis RM20,000
PELAKON, Zahiril mengakui di masa lapangannya banyak dihabiskan dengan bermain permainan video.
Mengakui semakin serius bermain e-sukan itu, Zahiril, 35, sanggup mengeluarkan kos yang besar untuk serius apabila mengetahui ia mampu menjana pendapatan sebagai duit tambahan selain berlakon.
“Saya berhabis sekitar RM20,000 semata-mata untuk game itu. Tapi pasang alatan yang perlu sahaja lah.
“Isteri saya pun ada juga bertanya fasal game itu, namun saya sudah jelaskan kepadanya ramai orang sudah menjadikan ia sebagai kerjaya,” katanya tersenyum.
Dalam pada itu, Zahiril berkata, permainan video game ini bukan untuk buang masa malah boleh jadi atlet dan mewakili negara Malaysia.
“Saya juga sudah berjumpa dengan ramai atlet yang bermain permainan video dan meraih pendapatan serta menjadikan arena ini sebagai kerjaya.
"Ramai sebenarnya yang berbakat dalam arena ini dan sampaikan sudah ada yang mewakili negara kita hanya dengan bermain game.
"Tetapi mungkin ramai tidak nampak kebolehan mereka. Disebabkan itu, saya harap apabila orang tahu saya aktif, saya dapat membantu promosikan komuniti ini," katanya lagi.
Begitupun, Zahiril yang ditemui Sinar Harian di majlis pelancaran filem Kron baru-baru ini, turut menegaskan kepada golongan anak muda yang masih bersekolah supaya mengutamakan terlebih dahulu pendidikan mereka.
"Anak muda ini kena pergi sekolah dahulu dan bukan main game secara kosong macam itu sahaja.
“Nak jana pendapatan melalui e-sukan ini kena ada ilmu dan kalau boleh habiskan sekolah dulu dan yang penting pandai bahagi masa,” akhirinya tegas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!