Ramasamy sedia berdepan Zakir Naik di mahkamah
GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy sedia berdepan dengan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik dalam tuntutan yang dikemukakan terhadapnya semalam.
Ramasamy berkata, walaupun Zakir telah membuat permohonan maaf susulan ucapannya yang mengguris hati masyarakat bukan Islam di negara ini, namun baginya ia sudah terlambat.
"Saya tidak akan membuat permohonan maaf terhadapnya dan berharap Zakir akan berada di sini untuk saya berhadapan dengannya di mahkamah nanti.
"Kenyataan Zakir pada dasarnya menggunakan dan memanipulasi Islam untuk menanam suasana tidak harmonis dan perselisihan di negara antara umat Islam dan bukan Islam," katanya menerusi kenyataan ditulis di laman Facebook miliknya.
Sebelum ini, Dr Zakir melalui peguamnya menghantar surat tuntutan permohonan maaf kepada Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran minggu lalu.
Surat tuntutan itu turut dikemukakan kepada Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; kolumnis portal berita Free Malaysia Today (FMT), Dennis J Ignatius dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy.
Berdasarkan surat tuntutan tersebut, Zakir menuntut keempat-empat individu itu menarik balik pernyataan fitnah dan mengemukakan permohonan maaf dalam masa 48 jam.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia dilapor melarang pendakwah terkenal Zakir daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara demi menjamin keselamatan dan keharmonian kaum selepas larangan sama dikeluarkan di tujuh negeri termasuk di Pulau Pinang.
Zakir kini sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, beliau adalah orang terakhir di dunia yang akan meminta orang lain untuk meminta maaf atas kekacauan yang telah dibuatnya di India dan negara ini.
Katanya, ketika negara mempunyai pelbagai masalah pada saat ini negara tidak perlukan individu yang boleh menggugat hubungan sosial dan etnik masyarakat.
ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik mohon maaf, tak mahu salah faham berlanjutan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!