Lebih 250 banduan lolos dari penjara di Papua
JAKARTA - Polis Indonesia hari ini memburu lebih 250 banduan yang melarikan diri dari sebuah penjara di Papua yang dibakar ketika rusuhan di beberapa bandar seluruh wilayah itu semalam.
Penjara di bandar Sorong itu menjadi sasaran susulan rusuhan yang dicetuskan oleh dakwaan layanan buruk polis terhadap mahasiswa Papua di Surabaya, Jawa Timur.
Jurucakap Ketua Pengarah Fasiliti Pemulihan, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Ade Kusmanto berkata, penunjuk perasaan menyerang penjara berkenaan selain beberapa bangunan lain.
"Selepas membakar pejabat kerajaan, penunjuk perasaan menuju ke penjara dan membaling batu, memprovokasi banduan," kata Ade sambil menambah seorang warden penjara cedera dalam kekalutan itu.
Dilaporkan 258 banduan daripada 547 yang ditahan di penjara itu melarikan diri, namun beberapa banduan telah ditahan semula.
Ribuan penduduk Papua merusuh di jalanan sekitar bandar Manokwari, Sorong dan Jayapura semalam dengan membakar tayar, merosakkan harta benda dan membakar bangunan Parlimen tempatan sebagai tanda protes terhadap penahanan 43 mahasiswa Papua di Surabaya yang dituduh merosakkan bendera Indonesia pada Hari Kemerdekaan ke-74 republik berkenaan Sabtu lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!