'Cerai' sahaja DAP jika bermasalah, Annuar beritahu Tun M
SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya 'menceraikan' DAP jika parti itu memberi masalah dan membawa kemudaratan lebih banyak.
Menurutnya, jika lebih lama DAP berada dalam kerajaan dan membawa kemudaratan, apa yang dibimbangi adalah kerosakan jangka panjang dalam sistem nilai, ideologi dan perkara tidak tersurat dan tersirat.
"Cuba lihat kepada Perlembagaan DAP mereka, ideologi perjuangan mereka adalah sosialisme dan sekularisme. Belum lagi perjuangan melaksanakan Deklarasi Setapak.
"Kalau tak boleh bagaimana nak kawal sehingga rosakkan ideologi nasional yang ditanam sekian lama. Ia perlu dikawal sebelum terlambat," katanya."Belum lagi kita bicara tentang konsep Malaysian Malaysia oleh DAP. Adakah Bersatu bersedia dan menerima sosialisme atau sekularisme," katanya pada siri Wacana Sinar Harian Ke-120 Melayu Islam Pasca PRU15 di sini hari ini.
Beliau berkata, Dr Mahathir kini berdepan dengan realiti sebenar dan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.
"Untuk Dr Mahathir ke depan dan belakang beliau perlukan bantuan. Jangan pula harapkan orang macam Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Menteri Belia dan Sukan).
ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq juga setuju Zakir Naik tak boleh tinggal di Malaysia
Jumpa kamu di mahkamah, Kula Segaran beritahu Zakir Naik
"Kenapa saya cakap begitu, kerana Syed Saddiq belum lagi lihat rakaman penuh ceramah Zakir Naik dia telah ikut cakap Kula Segaran (Menteri Sumber Manusia). Ia menunjukkan sesuatu yang tidak bagus lebih-lebih lagi datangnya dari Ketua Armada parti Perdana Menteri," katanya.
Syed Saddiq sebelum ini bersetuju dengan rakan Kabinetnya supaya Zakir dihantar pulang ke India susulan kenyataan kontroversinya terhadap masyarakat India dan Cina.
Dalam perkembangan terbaharu hari ini, Zakir Naik telah membuat permohonan maaf terhadap mana-mana pihak yang tersinggung dengan ucapannya yang didakwa disalah tafsir pihak-pihak tertentu baru-baru ini.
Menurutnya, situasi yang berlaku itu berlaku tanpa niatnya dan permohonan maaf dibuat bagi mengelakkan salah faham berlanjutan.
"Walaupun saya telah membuat penjelasan, namun saya ingin memohon maaf kepada mereka yang tersinggung atas salah faham yang berlaku ini.
"Saya tidak mahu ada pihak yang tersinggung dengan saya dan bukanlah niat saya untuk menyentuh mana-mana individu atau masyarakat kerana ia adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik mohon maaf, tak mahu salah faham berlanjutan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!