Rumah terbakar ketika menonton TV
MERSING - Waktu istirahat sebuah keluarga di Felda Tenggaroh 2 di sini bertukar duka apabila kediaman mereka terbakar dalam kejadian petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BPP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota dengan sebuah jentera dari BPP Mersing bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat, dibantu balai bantuan dari BPP Kota Tinggi dengan kekuatan lima anggota serta dua jentera.
"Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran sebuah rumah teres jenis kekal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran mengakibatkan kemusnahan pada struktur rumah, selain lima buah kenderaan terbakar sepenuhnya.
"Ketika kejadian, terdapat empat orang di dalam rumah sedang menonton televisyen. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
Beliau berkata, pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kebakaran dan juga jumlah kerugian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!